Banyak negara dan kota besar dunia kini menunjukkan komitmen terhadap larangan penggunaan kenderaan diesel. Paris, Madrid dan Mexico City merancang untuk melakukannya menjelang 2025. Norway juga ikut serta, dalam jangka waktu yang juga hampir sama. Britain dan Perancis pula meletakkan sasaran tahun 2040 untuk berbuat demikian.

Kini, sebuah lagi negara di Eropah menyatakan minat yang sama; Jerman akan melarang kenderaan diesel, seperti yang dinyatakan oleh Canselor Angela Merkel dan dilaporkan oleh Autocar. Bagaimanapun, masih belum ada penetapan tempoh waktu untuk pelaksanaannya.

Merkel mengulas, langkah Britain untuk melarang penjualan kenderaan baru yang menggunakan enjin petrol dan diesel adalah “tepat”, ketika ditemuramah oleh sebuah majalah Jerman, Superille.

Dengan perkembangan itu, Merkel juga menyatakan adalah sama penting juga untuk mereka melindungi pekerjaan dalam sektor automotif Jerman – yang sebelum ini heboh dengan skandal Dieselgate – yang menggaji seramai 800,000 orang, dan merupakan eksport utama negara itu.

Tambah beliau lagi, menuju ke arah itu, sokongan kerajaan Jerman dalam mempromosi teknologi baru dan pembangunan infrastruktur adalah pemangkin utama bagi peralihan industri automotif kepada sistem janaan elektrik dan alternatif yang lain.