PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

Hari ini telah berlangsungnya majlis mempersembahkan reka bentuk konsep stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiap stesen mengambil identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama yang sama masih mengadaptasikan ciri moden dan futuristik.

Najib berkata setiap daripada tujuh stesen di Malaysia itu adalah berdasarkan kajian meluas berserta usaha yang bukan sedikit dengan reka bentuknya bukan sahaja mengetengahkan elemen unik setiap bandar raya tetapi juga kreativiti dan inovasi tatkala negara menuju masa depan.

“Pasukan pereka bentuk mengambil pendekatan perjalanan (MYJourney) dan mengaplikasikan tujuh tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision, MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter pada setiap daripada tujuh stesen di sepanjang laluan.

PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

“Saya sendiri terlibat dalam memastikan setiap stesen mengekalkan cerminan identiti dan warisan Malaysia yang ketara sambil pada masa sama berciri moden dan futuristik,” katanya berucap dalam majlis berkenaan, laporan Bernama.

Mengulas konsep reka bentuk terbabit, Perdana Menteri berkata untuk stesen pertama iaitu Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, reka bentuknya merupakan terjemahan semula pertembungan Sungai Klang dan Gombak iaitu simbolik perpaduan semua lapisan masyarakat.

Bagi stesen Bangi-Putrajaya yang terletak di sempadan Selangor dan Putrajaya, Najib berkata reka bentuknya dipengaruhi ciri-ciri seni bina Islam manakala stesen Seremban direka bentuk berdasarkan keagungan Istana Seri Menanti serta kehijauan hutan tropika Lembah Wawasan Malaysia.

Apabila sampai di Melaka, inspirasi diperoleh daripada sejarah Melaka sebagai pelabuhan perdagangan strategik pada zaman kegemilangannya, justeru reka bentuk stesen Melaka adalah berdasarkan imej kapal dagang, simbol semangat keusahawanan masyarakat setempat.

“Bergerak ke selatan ke negeri Johor, stesen Muar mencerminkan kekayaan elemen kebudayaan Melayu dan diinspirasikan oleh rehal yang lazimnya digunakan untuk meletakkan al-Quran ketika pelajar belajar membacanya. Reka bentuk itu merupakan simbol akan kepentingan pembelajaran yang ditanam dalam kebudayaan kita sejak sekian lama dan terus menjadi tonggak identiti kita sekarang dan pada masa depan,” kata beliau.

Ujarnya lagi, bagi Stesen Batu Pahat pula, ia diinspirasikan oleh kuda kepang yang memberi keseimbangan antara warisan dan pemodenan, manakala stesen Iskandar Puteri diinspirasikan menerusi representasi berjabat tangan, menunjukkan peranan bandar itu sebagai bandar raya serantau untuk perdagangan bagi menjalankan perniagaan pada masa depan serta pertemuan antarabangsa, digabungkan dengan daya tarikan dan kemesraan Malaysia.

HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura. Projek sepanjang 350 km itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required