Untuk pameran SEMA tahun ini, Hyundai telah bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Ohio, iaitu Vaccar untuk menghasilkan Tucson Sport Concept seperti yang boleh dilihat dalam gambar. Model ini menggunakan asas daripada crossover Tucson Sport, tetapi dibuah suai secara menyeluruh.

Bermula pada bahagian luar, warna yang anda lihat itu adalah warna Blue Metallic yang boleh bertukar tona, dan dihiasi dengan beberapa bahagian berwarna kelabu. Lip hadapan, side skirt dan diffuser belakang adalah unit daripada Vaccar sendiri manakala gril hadapan adalah daripada M&S. Turut dipasang adalah lampu jenis LED RGB Diode Dynamic.

Bukan sekadar penampilan, bahagian enjin Tucson Sport ini turut dinaik taraf dengan pengecas turbo Boostec, blow-off R50, sistem pengudaraan dan paip AEM, intercooler Mishimoto G-Line, oil-catch tank VMS Racing, peredam bunyi Magnaflow Performance, bateri XS Power D Series 3400 dan minyak serta penapis AMSOil Signature Series.

Pada bahagian casis pula, peningkatan yang diberi melibatkan rim Concept One 20×9.5 inci, tayar Continental ExtremeContact Sport 255/35R20, pakej brek Vaccar-Power Stop di hadapan dan Z23 Evolution di belakang, nat tayar VMS Racing serta suspensi coilover Vaccar-Gecko G-Street.

Pada bahagian dalam, ia dilengkapi dengan balutan kulit warna kelabu dan jahitan biru, meter boost dan nisbah minyak/angin AutoMETER, head unit Vaccar dengan platform Android dan skrin sembilan inci, skrin sembilan inci di penyandar kepala untuk penumpang belakang, subwoofer 12 inci Picasso dan. amplifier Nano 520w Class D 4-channel.