Acara perlumbaan terbesar tempatan, Malaysia Speed Festival (MSF) akan melancarkan siri cabaran drift yang pertama semasa pusingan akhirnya 2 dan 3 Disember ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Siri drift ini dipanggil sebagai MSF Drift Gonzo, dan akan menjadi sebahagian daripada acara dalam festival selama dua hari ini. Sebagai tambahan kepada perlumbaan MSF Racing Series, acara lain yang juga akan berlangsung adalah MSF Superbike Track Day, pameran kenderaan Mcclubz serta pengenalan semula acara catatan masa MSF Megalap. Turut disediakan adalah jualan makanan dan ruang bermain untuk kanak-kanak.

Apa sebenarnya MSF Drift Gonzo ini? Ia bukanlah acara drift biasa yang akan melepaskan dua kereta serentak, tetapi satu persatu, dan pemandu perlu ‘melanggar’ beberapa sasaran di dalam litar untuk mendapatkan mata. Litar tersebut akan terletak di ruang letak kereta P2 dan P5, dan permukaannya akan dibasahkan.

Dalam siri drift ini juga akan terdapat tiga kategori iaitu Super 1600, Street Limiter dan Pro Comp. Super 1600 akan melihatkan penyertaan kereta NA sehingga 1,600 cc, manakala Street Limited disasarkan kepada kereta pacuan roda belakang yang boleh dibawa harian tanpa sebarang ubah suai. Pro Comp pula sudah tentunya adalah bagi pemandu drift profesional dan kereta tersebut perlu mempunyai roll-cage yang dikimpal dan tiada cermin kaca.

MSF Drift Gonzo yang akan berlangsung pada 2 Disember (Sabtu) akan memberi gambaran kepada musim penuh yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Mereka yang berminat untuk menyertai acara ini boleh mendaftar dan membayar secara atas talian di laman web MSF, dan yuran penyertaan awal bermula pada RM220 bagi setiap pelumba.

Untuk peminat sukan permotoran, bawa keluarga dan kawan anda ke Litar Sepang kerana pelbagai aktiviti lain turut akan disediakan sepanjang hujung minggu tersebut. Tiket untuk hari Sabtu dijual pada harga RM10 bagi orang dewasa dan RM20 untuk hari Ahad. Tiket juga boleh dibeli di Litar Sepang, dan tiada sebarang bayaran masuk dikenakan bagi kanak-kanak bawah 15 tahun.

Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman web rasmi atau laman Facebook MSF Racing.