Walaupun jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia pada bulan September menurun, itu tidak menghalang Proton daripada mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 12.5% sepanjang 2017 setakat ini. Jualan yang dicatatkan ialah sebanyak 56,297 unit berbanding 50,091 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ini turut disumbang oleh pertumbuhan sebanyak 1.7% bagi tempoh setakat ini untuk jumlah keseluruhan industri (TIV) berbanding jangka masa yang sama tahun lalu.

“Proton amat bernasib baik dengan perancangan model Saga dan Persona yang dilancarkan pada Ogos dan September 2016. Ia telah berjaya meningkatkan penjualan kenderaan, di mana sebahagian besarnya adalah melalui hasil jualan kedua-dua Saga dan Persona, dengan masing-masing menyumbang kepada 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini.” jelas Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa.

Kedua-dua model berkenaan juga memperlihatkan peningkatan sebanyak 9,661 unit berbanding model lamanya bagi tempoh sama tahun lalu. Model Persona misalnya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 90% setakat ini jika dibandingkan tahun lalu.

Tambah Rashid, tanda-tanda positif ini menunjukkan mengapa Proton memerlukan rakan kongsi yang baik; untuk memastikan syarikat itu dapat terus kekal dan berdaya saing dalam pasaran. Hasil dari usaha sama itu, Proton menjangkakan perkembangan yang lebih baik selepas ini.

Usaha promosi yang dijalankan, seperti mendekati pelanggan dengan lebih kerap dan berkesan melalui siri jelajah hujung minggu, serta demonstrasi ciri-ciri keselamatan yang ada pada model-model Proton semakin membuahkan hasil dan menarik minat orang ramai.

Melihatkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan, Proton kini meneruskan tawaran 5 nilai hebat dengan servis percuma selama 5 tahun dan waranti selama 5 tahun untuk setiap pembelian kereta Proton di seluruh negara.

Perkhidmatan percuma ini tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.