Selain VelociRaptor 6×6, Hennessey Special Vehicles turut memperkenalkan sebuah hypercar baru di pameran SMEA 2017, dipanggil sebagai Venom F5. Nama ini diambil daripada puting beliung paling berkuasa mengikut skala Fujita dan ia dianggap bersesuaian dengan kereta ini yang mempunyai prestasi menakjubkan.

Melalui Venom F5, Hennessey cuba menghasilkan kereta paling laju atas muka bumi ini, di mana ia menggunakan enjin V8 turbo yang mampu menghasilkan sehingga 1600 hp dan dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar belakang.

Casis kenderaan ini menggunakan bahan serba ringan, manakala badannya dibina sepenuhnya daripada gentian karbon, membolehkan ia mencatat berat cuma 1,338 kg. Badan ini juga menggunakan rekaan aerodinamik aktif yang menghasilkan rintangan angin coefficient of drag serendah 0.33.

Dengan kombinasi semua ini, Venom F5 tahap prestasi baru bagi sebuah hypercar, di mana ia boleh memecut 0-300 km/j dalam masa kurang 10 saat – lebih laju daripada kereta lumba F1. Pecutan 0-400 km/j pula boleh dilakukan dalam masa kurang 30 saat dan laju maksimum diunjurkan boleh melebihi 482 km/j (300 bsj).

Hennessey bercadang untuk mengeluarkan hanya 24 unit Venom F5 ini, dan setiap satu daripadanya dijual pada harga asas USD1.6 juta (RM6.7 juta). Untuk mencapai semua prestasi ini juga, Hennessey telah bekerjasama dengan Pennzoil untuk minyak pelincir dan menggunakan bahan api premium Shell V-Power NiTRO+.