Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept – hasil ubahsuai Bisimoto Engineering, tumpu kecekapan bahan api

Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept – hasil ubahsuai Bisimoto Engineering, tumpu kecekapan bahan api

Bisimoto Engineering – nama yang sinonim dengan ubahsuai enjin VTEC Honda yang disuap dengan pengecas turbo. Namun untuk SEMA 2017, penala dari Amerika Syarikat berkenaan melakukan perkara yang jauh lari kebiasaan dengan menghasilkan Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept iaitu kereta konsep yang diasaskan dari model hibrid Hyundai Ioniq, dibina mensasarkan penggunaan bahan api yang lebih baik.

Perkara pertama yang dilakukan oleh Bisimoto untuk mencapai sasarannya adalah memperbaiki aspek aerodinamik. Untuk itu, Ioniq ini diberikan splitter udara hadapan, skirt sisi dan juga spoiler belakang. HyperEconiq ini juga menerima penutup ruang roda belakang yang direka seperti Honda Insight generasi pertama dan Citroen BX.

Seterusnya, elemen yang terlibat dengan geseran pula disentuh semula. Kereta ini dipadankan dengan rim 19-inci dari material gentian karbon, dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersama set suspensi Progress Performance bagi merendahkan lagi badan kereta ini (untuk mengurangkan rintangan udara) serta penjajaran roda (wheel alignment) yang dilaras semula bagi mengurangkan rintangan golekan. Enjin masih dibiarkan standard, tetapi Bisimoto telah menggunakan minyak pelincir sintetik PurOl Elite.

Selain itu, sedikit perlatan mekanikal standard telah ditukar iaitu palam pencucuh dari NGK baharu dan juga sistem ekzos khas yang dibina bagi memberikan “keberkesanan volumetrik yang lebih baik”. Ia juga turut diberikan tingkat taraf sistem brek, kluster instrumen digital baharu dan juga tempat duduk bucket dari Recaro.

Menerusi semua ubahsuai yang dilakukan, Hyundai HyperEconiq Ioniq ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 35.3 km/l, menurut Bisimoto sendiri berbanding hanya 23.4 km/l (berdasarkan ujian dari EPA Amerika Syarikat) untuk Ioniq standard serta 24.7 km/l untuk versi Ioniq Blue.

Apa yang dilakukan oleh Bisimoto Engineering ini mungkin boleh memberikan idea kepada anda bagaimana sukarnya untuk membuatkan sesebuah kereta itu lebih cekap bahan api, dan mereka tidak langsung menggunakan sebarang voltage stabilizer yang hanya dicucuk pada soket pencucuh rokok 12V.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Nizam on Nov 03, 2017 at 11:33 am

    Apa yang dilakukan oleh Bisimoto Engineering ini mungkin boleh memberikan idea kepada anda bagaimana sukarnya untuk membuatkan sesebuah kereta itu lebih cekap bahan api, dan mereka tidak langsung menggunakan sebarang voltage stabilizer yang hanya dicucuk pada soket pencucuh rokok 12V..>> YANG INI KELAKAR. HA HA HA

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required