Selepas diberikan pembaharuan pada Mac yang lalu, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model grafik istimewa untuk model Wave Alpha. Ia adalah sebagai tambahan kepada dua variasi Wave Alpha sedia ada (model rim lidi dan brek dram dijual pada harga RM4,535.74, manakala model rim sport dengan brek cakera RM4,927.74) yang ditawarkan dalam pilihan tiga warna.

Wave Alpha warna baru ini dijual pada harga RM5,086.94 termasuk GST, dan ia menggunakan tetapan rim sport serta brek cakera depan dan belakang. Warna gabungan merah dan putih serta grafik istimewa tersebut adalah menggunakan konsep sama seperti jentera yang digunakan dalam perlumbaan Cabaran Honda Wave Alpha 2017.

Asas motosikal ini masih adalah sama, iaitu menggunakan enjin 109.1 cc satu silinder dengan sistem penyejukan udara dan kuasa disalurkan melalui kotak gear empat-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan ialah 8.3 hp pada 7,500 rpm dan tork pula 8.59 Nm pada 5,500 rpm.

Ruang barangan yang ada di bahagian bawah tempat duduk Wave Alpha ini, walaupun terhad, masih boleh memuatkan barangan bersaiz kecil. Turut disediakan adalah penghidup elektrik dan tendang. Honda Wave Alpha didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.