Lotus masih belum berhenti menaik taraf Exige. Kali ini, syarikat dari United Kingdom itu memperkenalkan pula Exige 430 Cup: Unlimited Edition, yang diangkat sebagai “taruhan Exige paling ekstrem.” Enjin V6 3.5 liter pada kenderaan ini dipasang dengan supercharger dan penyejuk Edelbrock baru, sehingga menjadikan kuasanya 430 hp pada 7,000 rpm dan 440 Nm tork antara 4,000 hingga 6,800 rpm.

Jika dibandingkan dengan Exige paling hebat sebelum ini, iaitu Exige Cup 380, model baru ini menghasilkan 15% lebih kuasa, ataupun 55 hp dan 30 Nm lebih. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, yang mempunyai diameter klac lebih besar, iaitu 240 mm (+12 mm berbanding Cup 380) untuk bertahan dengan lebih kuasa.

Dari kedudukan pegun, Cup 430 boleh memecut ke kelajuan 100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat, dan apabila diteruskan, ia boleh mencecah kelajuan maksimum 290 km/j. Dan biasa bagi Lotus, kereta ini dijadikan lebih ringan, dikurangkan 12 kg lagi untuk menjadi 1,059 kg. Apabila menggunakan lagi barangan tambahan yang lebih ringan, jumlah ini boleh menjadi 1,056 kg.

Seperti yang dijangka, bahan utama yang menyumbang kepada pengurangan berat ini adalah gentian karbon, dan ia digunakan pada splitter hadapan, panel akses hadapan, bumbung, keliling diffuser, bukaan udara tepi, pintu but dan sayap belakang.

Penggayaan kereta ini turut diubah dengan pakej aerodinamik baru yang dapat menjana kuasa tolakan ke bawah sebanyak 220 kg secara maksimum. Rim aloi yang digunakan adalah bersaiz 17 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan ia dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (saiz 215/45 di depan dan 285/30 di belakang).

Fungsi lain yang diberi dalam pakej ini adalah kawalan cengkaman dengan empat tetapan (gelinciran 1%, 3%, 6%, 9%, 12%), dan suis tutup terus yang boleh dikawal menggunakan tombol jenis pusing. Penggunaan gentian karbon turut diteruskan pada bahagian dalam iaitu pada tempat duduk, keliling panel instrumen, tepi pintu dan tepi tempat duduk.