Lotus Exige Sport 380 berkuasa 375 hp, berat 1,066 kg

lotus-exige-sport-380-1-e1479950556621-850x478-bm

Lotus telah mengeluarkan Exige paling ekstrim pernah dihasilkan, direka untuk menyaingi prestasi kenderaan supercar jutaan ringgit, dipanggil Lotus Exige Sport 380. Ia menggunakan enjin yang lebih berkuasa dan lebih banyak bahan ringan berbanding model Sport 350.

Badan bahagian luar kenderaan ini kebanyakannya menggunakan gentian karbon berkilat, termasuk pada pembelah angin, panel hadapan dan kemasan diffuser belakang, seterusnya berjaya mengurangkan 2.7 kg berat. Juga terdapat cermin belakang polycarbonate yang lebih ringan hampir satu kilogram, sementara panel belakang telah direka semula dengan hanya dua lampu belakang, berbanding sebelum ini empat. Lampu penunjuk arah juga dimasukkan sekali dalam lampu belakang ini.

Ciri aerodinamik juga dipertingkat, seperti yang boleh dilihat di bahagian depannya terdapat banyak panel angin, sementara di belakang pula, sayap baru dapat memberikan sehingga 140 kg daya tolak ke bawah. Ini adalah peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding Sport 350 – tanpa sebarang peningkatan pada rintangan.

Melengkapkan perubahan pada kereta baru ini adalah rim aloi ultra-lightweight berukuran 17 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2. Tersembunyi di sebalik itu adalah angkup brek empat piston AP Racing dan cakera berkembar berlubang. Semua ini berjaya mengurangkan 10 kg.

Pada bahagian dalam, tempat duduk gentian karbon – dibalut dengan sama kulit, Alcantara atau tartan – mengurangkan lagi 6 kg dan terdapat juga pilihan untuk menambah plet tepi pintu gentian karbon. Kotak gear manual dengan sambungan yang terdedah juga masih dikekalkan pada Sport 380.

Pada bahagian lain, bateri lithium-ion yang diguna berjaya mengurangkan 10.3 kg, sementara pilihan pakej Track Pack menambah penyerap boleh laras Nitron dan anti-roll bar Eibach di depan dan belakang. Lotus juga menyediakan pilihan ekzos titanium yang 10 kg lebih ringan, bersama pakej Carbon Exterior Pack dengan bumbung dan penutup but gentian karbon.

lotus-exige-sport-380-3-e1479950641410-850x480-bm

Bumbung gentian karbon ini 2 kg lebih ringan berbanding bumbung kain (Sport 380 datang standard sebagai roadster; badan jenis coupe yang disediakan sebagai pilihan adalah lebih berat), tetapi diimbangkan kembali dengan penutup but yang 2 kg lebih ringan. Secara keseluruhan, Lotus Exige Sport 380 mencatat berat kering 1,066 kg dengan semua barang yang ringan ini dan ia adalah 49 kg lebih ringan berbanding Sport 350 biasa dengan kotak gear manual.

Badan serba ringan ini kemudiannya dipacu oleh enjin V6 Toyota 3.5 liter supercas yang diperelok, menghasilkan 375 hp pada 6,700 rpm dan 410 Nm tork pada 5,000 rpm. Jumlah ini adalah 30 hp dan 10 Nm lebih tinggi berbanding Sport 350. Padanan kotak gear yang disediakan adalah sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dengan pedal penukar di stereng. Sport 380 boleh mencatat masa 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 286 km/j bagi manual dan 274 km/j bagi automatik.

Akhir sekali, Sport 380 datang dengan Dynamic Performance Management (DPM), dengan tetapan Sport dan Race yang dipertingkat. Dalam tetapan ini, tindak balas pendikit dinaikkan secara berperingkat, sementara campur tangan kawalan cengkaman dikurangkan bersama pengesan understeer, seterusnya memberikan lebih kawalan kepada pemandu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Alson P on Nov 24, 2016 at 11:32 pm

    Lotus perlu perksakan setiap modelnya terutama tiga model terasnya..

    Lotus Elise kereta sport super-light mid engine dengan kuasa di bawah 250 hp..

    Lotus Exige super-light Super-car mid engine dengan kuasa di bawah 500 hp..

    Lotus Evora light Super-car mid engine dengan kuasa di bawah 1000 hp..

    Model pengganti setiap lima tahun atau model yang dipertingkat(major FL) sekurangnya jika target tidak tercapai..

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required