Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan rasminya mengumumkan penawaran varian terkini iaitu Premium bagi Triton VGT dan juga edisi terhad bagi ASX Adventure. Seperti yang dipertontonkan awal bulan ini, model ASX Adventure ini ditawarkan dalam jumlah hanya 60 unit sahaja dan menampilkan beberapa tambahan dari segi penampilan luaran mahupun dalaman.

Model SUV kompak ini mendapat gril dengan rekaan baru dengan panel yang lebih besar berbanding susunan bertingkat pada rekaan pada model biasa. Kemasan krom juga lebih banyak. Di belakang, bamparnya turut menerima beberapa kemasan baru, yang selari dengan penggunaan bahagian hitam pada sisi dan juga pelindung fender – memberikannya imej yang lebih ranggi.

Rim 18-inci lima jejari pula menggantikan rim yang seinci lebih kecil yang digunakan pada varian lain – rim yang sama akan anda lihat digunakan pada model Outlander. Di dalam, kemasan warna biru menghiasi dikebanyakan tempat, dengan kehadiran tempat duduk kulit. Pedal yang digunakan juga dari jenis aluminium. Berdasarkan model ASX 2.0L 2WD, edisi Adventure ini datang hanya dalam warna Sporty Blue Metallic dan dijual pada harga RM123,988.

Triton VGT AT Premium pula ialah sebuah varian baru yang dipekenalkan, berada di antara Triton VGT AT GL dan Triton VGT Adventure X yang paling lengkap. Dijual pada harga RM116,300, VGT AT Premium dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, tempat duduk kulit dan kamera undur. VGT AT GL, yang lebih murah pada harga RM103,800 hanya menggunakan rim 16-inci dan tempat duduk fabrik.

Selain itu, MMM juga memberikan sports bar rekaan terbaru bagi Triton Adventure X, yang kini dijual pada harga RM126,990 – lebih rendah berbanding sebelum ini, RM130,900. Spesifikasi lain masih sama.

Triton VGT dikuasakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan VVT, menghasilkan 181 PS dan 430 Nm. Model berkenaan diberi peningkatan pada awal tahun ini, dengan pertambahan ciri keselamatan. Dibawa masuk dari CBU dari Thailand, Triton diberikan jaminan lima-tahun/200,000 km.

Mitsubishi ASX Adventure