Tesla Semi – trak elektrik sepenuhnya yang mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5 saat

Tesla Semi – trak elektrik sepenuhnya yang mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5 saat

Pembuat kereta elektrik berkuasa tinggi dari Amerika – Tesla – telah mendedah trak elektrik sepenuhnya yang di gelar Tesla Semi. Menurut syarikat berkenaan, Tesla Semi bakal memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pemandu trak, disamping mempertingkatkan keselamatan dan mengurangkan kos pengangkutan secara signifikan.

Menurut Tesla, sekiranya trak ini tidak menarik beban, ia mampu untuk memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya lima saat – cukup untuk menewaskan kebanyakkan kereta ‘sport’, berbanding sekitar 15 saat untuk trak diesel konvensional. Jika diberi beban 80,000 pound pula, ia mampu memecut pada jarak sama dalam masa 20 saat, berbanding sekitar seminit bagi trak diesel biasa.

Tesla juga turut menjelaskan, trak ini mampu mendaki bukit dengan gred 5% dengan kelajuan selesa 105 km/j berbanding trak diesel yang hanya mampu mencapai kelajuan maksima 72 km/j pada kadar kecerunan yang sama. Manakala sistem regenarative braking pada trak ini pula mampu memanjangkan jangka hayat sistem brek, selain memberikan 98% kuasa kinetik kepada bateri

Pecutan dan nyah pecut trak ini juga lebih lancar kerana tidak memerlukan kotak gear. Secara keseluruhan, Semi lebih responsif, dapat bergerak lebih jauh berbanding trak diesel dalam tempoh masa yang sama, menurut Tesla lagi.

Kabin Semi juga direka berbeza dengan trak konvensional dan bersifat lebih mesra pemandu. Ia menampilkan tangga tanpa halangan untuk memudahkan akses dan juga tempat duduk pemandu yang berada di tengah bagi memberikan penglihatan yang lebih baik. Dua paparan skrin sesentuh yang diletakkan pada kedua-dua sisi pemandu akan memberikan informasi berkenaan navigasi, pemantau titik buta dan juga sistem data logging elektronik.

Trak ini juga disertakan dengan sistem pengurusan logistik bina dalam yang membantu merancang laluan dan jadual, serta pemantau jarak jauh – sistem ini dibekalkan oleh pihak ketiga untuk trak-trak diesel biasa.

Bersama trak ini, Tesla turut memperkenalkan Megachargers iaitu sistem pengecas arus terus (DC) berkelajuan tinggi yang mampu memberikan bekalan kuasa untuk bergerak sejauh 644 km dengan sekali cas selama 30 minit. Ia boleh dipasang pada pangkalan asal dan juga destinasi serta sepanjang laluan dengan trafik sibuk, membolehkan trak ini dicas semula semasa mengisi dan menurunkan barang, atau ketika pemandu berehat.

Tanpa enjin dan transmisi, Tesla mendakwa trak Semi mereka ini akan memberikan kos selenggara yang jauh lebh rendah. Bateri yang digunakan adalah bateri yang dibina dengan komposisi sama dengan produk tenaga mereka yang lain dan sememangnya direka bagi penggunaan berulang kali untuk lebih sejuta batu, manakala motor elektrik yang digunakan adalah motor yang diambil dari Tesla Model 3 dan ia telah disahkan tahan untuk perjalanan lebih satu juta batu dalam situasi paling lasak.

Tesla Semi ini juga direka dengan standard keselamatan yang lebih tinggi dari trak kerja-berat dalam pasaran lain. Bateri trak ini diperkuatkan bagi melindungi Semi dari impak pelanggaran serta mempunyai kadar pusat graviti yang rendah. Cermin hadapan trak ini juga dibina dari kaca kalis impak.

Manakala untuk sistem keselamatan lain, Semi turut diberikan kamera sekeliling bagi membantu pemandu mengesan objek dan mengurangkan titik buta, serta membantu memberi amaran sekiranya ia mengesan apa-apa halangan. Dengan sistem Autopilot yang dipertingkat, Tesla Semi turut menampilkan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga amaran keluar laluan.

Untuk pelanggan yang berminat, mereka sudahpun boleh menempah trak ini dengan bayaran $USD 5,000 setiap trak. Ia bakal diproduksi bermula tahun 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required