Keputusan sama ada untuk mengenakan atau membatalkan 10% surcaj tambahan bagi menggunakan kad prabayar Touch ‘N Go (TNG) di sesetengah lokasi seperti di pusat membeli-belah atau bangunan parkir kenderaan adalah bergantung kepada penyedia perkhidmatan terbabit, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, sementara isu TNG ini dalam pembincangan dengan para penyedia perkhidmatan seperti pengendali parkir untuk pihak berkenaan menyerap kos tersebut dalam sistem penyediaan dan penyelenggaran TNG, keputusan untuk mengenakan caj perkhidmatan adalah di antara penilaian dan budi bicara penyedia perkhidmatan, laporan theSundaily

Kenyataan ini adalah jawapan bertulis susulan soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai yang ingin mengetahui sama ada menggunakan TNG ini sebagai satu medium jualan dan pembelian dengan kos tambahan melalui satu caj dilevi akan dikenakan kepada pelanggan. Kebanyakan penyedia sistem TNG ini tidak mengenakan caj tambahan untuk penggunaan kad-kad ini di tempat seperti plaza tol dan atas belian runcit, katanya.

“Walau bagaimana pun, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan tertentu seperti pengendali parkir yang mengenakan surcaj bagi penggunaan TNG ini. Ini adalah bagi menanggung kos operasi dan pengurusan kemudahan di lokasi tertentu yang menawarkankemudahan TNG. Namun ada juga penyedia perkhidmatan yang memilih untuk tidak mengenakan caj tambahan bagi pengguna kad TNG dan menyerap kos bagi operasi sistem yang dikendalikan,” tambah Najib lagi.

Pada Mei lalu, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menyokong ‘tiada bayaran surcaj’ bagi model perniagaan dan telah berunding dengan pengendali parkir, pemilik bangunan dan pihak berkaitan bagi mengetepikan surcaj ini.