Proton dan Geely sebelum ini telah bersepakat mereka akan memanfaatkan semua tenaga kerja sedia ada bagi membangunkan kembali jenama automotif nasional berkenaan. Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Yoshiya Inamori, iaitu naib presiden pembuatan baharu Proton yang berpengalaman selama 35 tahun mengendalikan kilang-kilang Mitsubishi di Jepun, Amerika Syarikat dan Rusia.

Ketika sesi temuramah bersama beliau, Inamori menegaskan Proton kini sememangnya tiada rancangan untuk mengurangkan pekerja, walaupun jumlah pengeluaran di paras rendah. Tenaga-tenaga kerja ini dapat digunakan untuk tujuan menjalankan kaedah-kaedah pengurangan kos, meningkatkan kualiti, pembekalan yang lebih bagus dan juga proses-proses yang lebih efisien.

“Jumlah pengeluaran bukan isunya…jika jumlah meningkat, kita akan cari lebih pekerja; jika jumlah turun, kami berhenti untuk mencari pekerja. Apa yang penting ialah jumlah produksi stabil setiap tahun.”

“Jika jumlah produksi tidak menentu, bulan-bulan tertentu kami perlu hasilkan lebih kereta, bulan-bulan lain pula rendah jumlah pengeluaran, jadi kami perlu sediakan pekerja untuk jumlah yang tinggi,” katanya. Inamori menjelaskan lagi jika terdapat pekerja dengan skop kerja yang bertindan, beliau sendiri akan menyarankan Geely agar menyediakan latihan untuk mereka.

“Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk menurunkan jumlah pekerja kerana jumlah pengeluaran berada pada paras rendah, dan juga, dengan Geely, jika saya jumpa pekerja dengan kerja yang bertindan…jika saya mohon, Geely mungkin akan terima (untuk melatih pekerja) di Geely.

“Di Proton, kami mempunyai ramai pekerja yang berpengalaman, dengan umur 40 tahun, 50 tahun, dan orang-orang muda. Tetapi yang dalam lingkungan umur pertengahan kurang, dan bagaimana untuk melatih orang muda adalah tugas lain untuk saya. Jadi, jika saya jumpa pekerja yang berpotansi untuk tugas lain, saya akan minta Geely untuk melatih mereka,” jelasnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa jumlah pekerja Proton buat masa sekarang dengan jumlah kereta yang dijual adalah masih munasabah. Mengikut data jualan dalaman terbaharu, Proton telah menjual 5,083 kereta manakala jumlah pekerja pula berjumlah 9,600 orang.

Inamori turut berkongsi pengalamannya sebagai naib presisen PCMA Rus (syarikat usahasama antara Peugeot dan MMC di Rusia), di mana beliau terpaksa mengurangkan jumlah pekerja kerana Krisis Ukraine pada tahun 2014 kerana jumlah pengeluaran kilang perlu dikurangkan. Menurutnya situasi di Malaysia masih lagi tidak memerlukan langkah sedemikian.