Mitsubishi Triton bakal melakukan penampilan khas di Thailand Motor Expo yang akan berlangsung pada minggu hadapan, dengan varian baharu, Athlete, diperkemaskinikan bahagian dalaman dan luaran. Ia melibatkan perubahan kosmetik yang agak besar, namun masih mengekalkan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini, dengan imejnya telah didedahkan oleh Headlight Magazine.

Semua varian bagi Triton Athlete Special Edition pasaran Thailand ini bakal dijanakan oleh enjin diesel 2.4 liter 4N15 MIVEC dengan variable geometry turbocharger dan intercooler, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 hp pada 3,500 rpm dan tork 430 Nm pada 2,500 rpm. Transmisi pula sama ada menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lima-kelajuan.

Untuk bahagian luarannya, bahagian hadapan Triton Athlete dilengkapi dengan gril sarang lebah bersama jaluran hitam. Malah bampar hadapan juga menerima jaluran hitam-jingga di hadapannya dan kekemasan hitam di dalamnya yang ditampilkan bersama lampu kabus. Gerbang roda hadapannya dan perumah cermin sisi juga ditampilkan dengan rona hitam.


Tiga palang sport yang sama dengan warna badan juga terpasang di bahagian luaran dan ini termasuklah liner bagi tailgate. Bampar belakang juga ditampilkan dengan kekemasan hitam dan jingga, malah warna yang sama turut menghiasi pelekat yang ditampal pada sisi bawah pada pintu dan juga sisi palang sport.

Bagi bahagian dalamanya pula, sekali lagi warna hitam dan jingga menjadi pilihan dan ini jelas kelihatan pada semua tempat duduk kulit upholstery. Begitu juga dengan roda stereng, tombol gear, panel pintu dan kotak storan konsol tengah yang turut ditampilkan dengan jahitan jingga. Selain itu, Untuk tempat duduk pemandu, ia disertakan dengan larasan elektronik lapan-hala. Elemen unik dan khas bagi varian Athlete yang turut ditampilkan termasuklah corong pendingin hawa, panel konsol tengah, kekemasan roda stereng dengan kekemasan logam.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit skrin sesentuh bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk telefon pintar. Lain-lain perincian dan harganya hanya akan didedahkan sepenuhya ketika pelancaran acara Motor Expo ini.

GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure X di Malaysia