Great Wall Motors (GWM) pemilik jenama SUV Haval dari China mendedahkan SUV mewah dengan teknologi plug-in hybrid terbaharunya digelar P8 yang dibina di bawah jenama mewah milik mereka iaitu Wey (seperti Toyota-Lexus atau Nissan Infiniti). SUV berkenaan didedahkan semasa berlangsungnya Guangzhou Motor Show 2017, dan ia dijangka akan memasuki pasaran China pada suku pertama tahun hadapan.

Model ini diasaskan dari SUV flagship Wey VV7, dan dibezakan dengan gril hadapan yang lebih besar serta port pengecas yang terletak pada fender hadapan sebelah kiri. Bahagian lain, kedua-dua model berkenaan menampilkan rupa yang hampir serupa terutamanya pada bentuk garis badan serta rekaan signatur lampu hadapan.

Pada bahagian dalam, Wey P8 menampilkan rekaan papan pemuka dengan elemen melintang seperti pada model-model Audi; sama seperti model-model SUV Haval generasi terbaharu yang turut menampilkan rekaan dalaman dengan pengaruh Audi yang kuat. P8 juga diberikan liang penghawa dingin berbentuk bulat bersama skrin infotaimen yang boleh disorokkan.

Sistem janakuasa SUV ini menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo bersama kotak gear enam-kelajuan klac-berkembar automatik, digabungkan dengan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang, membolehkan ia beroperasi dengan pacuan semua roda.

Secara keseluruhan, P8 mempunyai kuasa 335 hp/520 Nm yang membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 2.3 liter untuk setiap 100 km. Manakala untuk pemanduan elektrik sepenuhnya pula, ia boleh mencapai jarak sehingga 50 km.

Untuk keselamatan, Wey P8 dipadankan standard dengan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal laluan, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta dan juga amaran buka pintu bagi mengelakkan pelanggaran. Ia turut diberikan kamera 360-darjah dan cermin pandang belakang digital seperti pada Lexus LS baharu.