Menurut laporan terbaru Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) J.D. Power 2017 di Malaysia, pemilik kenderaan dalam usia muda bawah 30 tahun melaporkan lebih banyak masalah kenderaan mereka berbanding pemilik yang lebih berusia – walaupun sebenarnya mengalami kurang masalah dengan kenderaan baru mereka.

Statistik dari syarikat berkenaan menunjukkan walaupun hanya 37% pemilik lebih muda memberi petunjuk bahawa mereka mengalami masalah dengan kenderaan baru mereka (jika dibandingkan dengan purata kajian sebanyak 43%), jumlah sebenar masalah yang dilaporkan oleh mereka adalah lebih tinggi – mereka yang berusia bawah 30an melaporkan purata 83 masalah bagi setiap 100 kenderaan (PP100) berbanding 77 PP100 bagi pemilik lebih berusia.

Kajian berkenaan juga mendapati 24% pemilik lebih muda yang mengalami masalah dengan kenderaan baru mereka menyatakan bahawa mereka tidak akan kembali membeli dari jenama yang sama di masa hadapan.

Selebihnya, tujuh daripada lapan kategori masalah yang diukur dalam kajian ini menunjukkan peningkatan bagi masalah yang dilaporkan. Angka masalah keseluruhan meningkat kepada 79 PP100 dari 69 PP100 pada 2016. Rungutan paling tinggi diterima adalah bagi kategori pengalaman pemanduan, bahagian luaran kenderaan serta enjin/transmisi.

Masalah-masalah berkaitan kualiti pengilangan naik sebanyak tujuh PP100, manakala masalah berkaitan rekaan naik sebanyak dua PP100. Kajian sama turut mendedahkan jenama Malaysia mempunyai lebih banyak masalah – pembeli kenderaan jenama tempatan melaporkan 95 PP100 masalah berbanding 59 PP100 bagi pemilik kenderaan bukan nasional.

Bagi segmen SUV pula, yang diwakili hanya oleh pengeluar kenderaan bukan nasional merekodkan masalah yang paling rendah dilaporkan, pada kadar 48 PP100. Kajian itu juga mendapati, masalah yang paling banyak menerima aduan ialah berkaitan bunyi angin yang kuat, iaitu sebanyak 4.3 PP100.

Toyota Vios menduduki tempat teratas bagi segmen kenderaan peringkat kemasukan saiz sederhana (62 PP100), sementara Perodua Myvi mendahului segmen kompak (84 PP100). Bagi segmen SUV, Honda BR-V menerima aduan masalah paling rendah (27 PP100), sementara Isuzu D-Max mendahui segment trak pikap dengan 52 PP100.

Kajian IQS 2017 ini adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,843 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka dari Ogos 2016 hingga Jun 2017. Kajian ini dilakukan dalam tempoh antara Februari hingga Ogos 2017, mengukur masalah-malasah yang dialami oleh pemilik kenderaan bagi tempoh dua hingga enam bulan pertama pemilikan. Ini termasuk mengambil contoh dari 47 kereta penumpang, trak pikap dan lain-lain dari 12 jenama.