Nama Pa’din Musa tidaklah terlalu asing, terutama bagi anak-anak muda yang cenderung berminat dalam sukan esktrem skateboard atau papan selaju dan mengikuti perkembangannya di Malaysia. Di dalam perkembangan terbaru, beliau menjadi skateboarder pertama dari Malaysia yang diberi penghormatan untuk mengeluarkan kasut Vans edisi signature sendiri.

Dan, untuk meraikan perkara itu, beliau bersama Vans Malaysia turut menghasilkan sebuah dokumentari khas berkaitan perjalanan kariernya sepanjang berkecimpung di dalam dunia skateboarding tempatan dan juga antarabangsa.

Lebih menarik, di dalam video dokumentari yang diberi judul DEMI ini, ada satu lagi sisi Pa’din yang turut diketengahkan – kegilaannya terhadap menghasilkan motosikal binaan khas. Dengan latar belakang pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, sejak tahun 2009 lagi Pa’din telah mengusahakan bengkel/kafe motosikalnya sendiri, dikenali dengan nama Abah & Sons Co.

Skateboard dan motosikal menjadi tunjang utama di dalam hidupnya, dan perkara itu ditunjukkan dengan jelas di dalam video dokumentari terbaru ini. Sebuah motosikal kustom yang ditunggangnya sendiri, yang juga dibina dengan tangannya sendiri turut ditampilkan.

Motosikal kustom berkenaan menjadi semacam terjemahan kepada minat Pa’din terhadap model-model motosikal vintage yang sentiasa menarik minatnya. Inspirasi dari motosikal-motosikal lama seperti dari BSA, Triumph dan Harley-Davidson dapat dilihat pada motosikal unik berkenaan. Kerangkanya dibikin sendiri, manakala janaan kuasa pula menggunakan enjin dari Harley-Davidson Shovelhead 1,200 cc tahun 1974.

Dan, disebabkan beliau seorang skateboarder yang kerap menjelajah ke banyak tempat untuk tujuan aktiviti itu, maka motosikal yang dibangunkan juga disertakan sekali dengan kemudahan untuk membawa skateboardnya ke mana-mana – ia diletak di bahagian sisi sebelah kiri motosikal berkenaan.

Kasut edisi khas berkenaan pula akan mula dijual pada 2 Disember nanti ditawarkan dalam dua rekaan – Authentic Pro dan Old Skool Pro. Di bahagian pelapik dalamnya ada disertakan dekorasi dari ayat-ayat pantun dalam Bahasa Malaysia. Masing-masing akan dijual pada harga RM299 dan RM319.

Jadi, sementara santai-santai nanti, bolehlah anda menonton video tentang perjalanan seorang anak Malaysia yang dengan bermodalkan minat mendalam, telah mengukir sejarahnya sendiri dan menjadi kebanggaan bersama.