Hasil kerja Kahn Automobiles sememangnya terkenal bukan sahaja di negara asal mereka iaitu United Kingdom, malah di serata dunia. Syarikat pengubah suai kenderaan, terutamanya jenis 4×4 ini telah mencipta nama dengan kerja yang berkualiti, bertaraf tinggi dan premium.
Untuk hasil terbarunya, Kahn telah mengeluarkan gambar awal sebuah model Defender yang diubah suai dengan enam tayar. Model seperti ini pernah dijual oleh Kahn sebelum ini, tetapi bezanya untuk model baru ini adalah ia mempunyai bumbung belakang boleh buka elektronik. Model ini digelar sebagai Flying Huntsman Coach Built 6×6 Soft Top.
Harga model baru oleh Kahn ini masih belum diberitahu, malah gambar yang dikeluarkan cuma satu, dengan memberitahu lebih banyak perincian akan diumumkan kelak. Selain tambahan tayar serta bumbung tersebut, model ini juga dilihat mempunyai tambahan panel badan di bahagian tepi (atas lengkuk tayar) serta hud hadapan yang berbonjol.
Bagi model Defender 6×6 sebelum ini, iaitu Flying Huntsman 6×6, Kahn menggunakan asas Land Rover Defender 2.2 TDCI, yang mempunyai kuasa 122 hp dan ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, dan sistem pacuan enam roda buatan khas serta differential tengah yang boleh dikawal secara elektronik. Seperti yang boleh dilihat dalam web syarikat ini, harga model tersebut adalah £249,995 (RM1.36 juta).
Ya, harga tersebut memang sudah menyamai tahap supercar, dan selain naik taraf mekanikal, Kahn juga mengubah suai hampir keseluruhan kenderaan termasuk bahagian dalamnya supaya menjadi lebih mewah, moden dan unik dengan gaya tersendiri.
GALERI: Land Rover Defender ubah suai oleh Kahn Automobiles
- Land Rover Defender by Kahn Design. Upgrades include wide arches, front grill, wheels, leather-interior and other finishing touches.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


















