Seakan memberikan petanda, ia bakal dilancarkan di pasaran malaysia tidak lama lagi, pengedarnya di sini, Naza Kia, telah menyiarkan teaser terbaharu bagi Picanto 2018 menerusi laman web mereja. Walau pun tidak menyebut model “kompak” secara spesifik, namun imej lampu utama yang disiarkan itu mengesahkan ia adalah hatch segmen-A generasi akan datang tersebut.

Spesifikasi permulaan bagi model JA baharu juga telah disenaraikan, dan ini termasuk dengan elemen keselamatan seperti enam beg udara, ABS, kawalan kestabilan dan bantuan mula-mendaki. Namun ini bukanlah kejutan, kerana model TA sedia ada juga telah menampilkan elemen tersebut secara standard.

Ia juga termasuklah lampu utama projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan kemasukan tanpa kunci, yang kesemuanya juga telah ditampilkan pada model terdahulu. Apa yang baharu ialah skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta kamera undur bersama garisan panduan dinamik.

Walau bagaimana pun, ia tidak menyebut tentang penjana kuasa yang bakal ditawarkan, namun dijangka Picanto tetap menggunakan enjin yang sama iaitu 1.25 liter empat-silinder seperti sebelum ini, dengan kuasa 87 PS pada 6,000 rpm dan tork 122 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Versi manual lima-kelajuan juga ditawarkan pada model terdahulu, namun disebabkan ia kurang mendapat sambutan maka kemungkinan kali ini ia tidak akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Semasa sesi pra-tonton Picanto baharu bulan lalu, Naza Kia mengumumkan, model tersebut akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, dan ada sumber memaklumkan, harganya mungkin lebih kurang RM60,000. Tetapi mungkin ia lebih atau kurang berbanding model sebelum ini yang berharga RM61,800 (atas jalan, dengan insurans). Jika berminat, anda boleh mendaftarnya DI SINI

GALERI: Kia Picanto 2018 yang dipertontonkan di Malaysia