Setelah didedahkan di Frankfurt Motor Show pada September lalu, kini Volkswagen Polo GTI Mk6 telah mula dijual di tanah kelahirannya itu. Varian tertinggi hot-hatch kompak berkenaan dijual di Jerman pada harga 23,950 euro atau RM115,623 mengikut tukaran wang asing terkini.
Model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 1.8 liter TSI, sebaliknya digantikan dengan unit 2.0 liter TSI yang berkapasiti lebih besar dan berupaya menghasilkan 200 PS/320 Nm. Enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan membolehkan ianya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 237 km/j. Versi manual enam-kelajuan turut akan diperkenalkan selepas ini.
Bagi membezakan model berprestasi tinggi ini dengan versi biasa, ia diberikan pelbagai kemasan untuk menyerlah rupa yang lebih garang. Ini temasuk bampar hadapan baharu dengan gril sarang lebah, jalur merah pada gril utama yang seakan termasuk terus pada lampu opsyenal LED hadapan, spoiler belakang lebih besar serta dua tip ekzos.
Model ini juga ditawarkan dengan rim lebih besar berdiameter 18-inci (juga opsyenal), angkup brek berwarna merah, serta lencana-lencana GTI pada tempat yang yang sepatutnya.
Masuk ke bahagian dalam, Polo ini menerima kemasan klasik VW GTI iaitu tempat duduk dengan corak tartan Clark, roda stereng lebih sporty dengan serlahan jahitan benang merah, balutan bumbung hitam dan juga tombol gear GTI. Ciri lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital Active Info Display, sistem bantuan pemanduan, bumbung panaromik dan juga sistem audio Beats berkuasa 300-watt.
Model generasi keenam Polo ini telahpun dianugerahkan keselamatan lima-bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP), bukan sahaja untuk versi GTI ini malah setiap varian termasuk model paling asas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.