Volkswagen Polo GTI Mk6 – 2.0 TSI berkuasa 200 PS

Volkswagen Polo GTI Mk6 – 2.0 TSI berkuasa 200 PS

Serentak dengan pengenalan rasmi Volkswagen Polo Mk6, pengeluar kenderaan dari Jerman tersebut turut memperkenalkan sekali varian paling berkuasa hatchback segmen-B tersebut – Polo GTI Mk6. Berbeza dengan generasi sebelum, GTI Mk6 hanya tampil dengan bentuk badan lima-pintu dan tiada lagi model tiga-pintu.

Jika kebanyakkan pengeluar masih lagi meneruskan trend pengecilan kapasiti enjin – saingan terdekat Polo GTI iaitu Ford Fiesta ST misalnya yang kini dijana enjin tiga silinder 1.5 liter turbo berbanding enjin empat silinder 1.6 liter turbo sebelum itu – Volkswagen melakukan perkara sebaliknya untuk Polo GTI generasi baharu ini.

Enjin 1.8 liter turbo berkuasa 192 PS pada model terdahulu tidak lagi digunakan, tetapi digantikan dengan enjin 2.0 liter TSI menjana 200 PS. Untuk pasaran Eropah, enjin tersebut diberikan dua pilihan transmisi, sama ada manual enam-kelajuan atau klac berkembar DSG automatik tujuh-kelajuan. Walau bagaimanapun, angka-angka prestasi rasmi model ini masih belum diumumkan VW.

Polo Mk6 dibina berasaskan platform modular MQB yang telah dipendekkan. Dengan dimensi yang lebih panjang dari Mk5, model generasi baharu ini menampilkan bentuk badan yang lebih rendah dan sporty. Selain itu, ia turut dibina lebih lebar, manakala jarak rodanya kini 94 mm lebih panjang dari sebelum ini. Buat pertama kali, Polo GTI diberikan pilihan penyerap hentak aktif Sport Select.

Untuk penampilan, model baharu ini masih diberikan ‘baju seragam’ tradisional GTI yang terdiri dari bampar hadapan rekaan tersendiri dengan gril ‘sarang lebah’, jalur merah pada gril yang bersambung pada jalur di dalam lampu hadapan LED, spoiler belakang lebih besar, tip ekzos berkembar serta lencana-lencana GTI turut dipadankan pada tempat-tempat yang sepatutnya.

Selain itu, Polo GTI Mk6 turut diberikan rim aloi baharu dengan diameter lebih besar dari sebelum ini (kini 18-inci). Manakala angkup-angkup brek disebalik rim-rim berkenaan pula diberikan kemasan berwarna merah untuk menyerlahkan imej prestasinya.

Begitu juga pada bahagian dalaman, model generasi baharu ini masih menampilkan fabrik dengan elemen tartan Clark yang ikonik terhadap lencana GTI VW. Kabin hatchback ini turut diberikan roda stereng sport dengan serlahan jahitan berwarna merah, kemasan bumbung berwarna hitam serta tombol gear GTI.

Ciri lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital Active Info Display generasi kedua dan juga sistem pemantau bahagian hadapan Front Assist yang bersepadu dengan brek kecemasan automatik serta Cruise Control aktif. Perincian lanjut berkenaan hot-hatch kompak ini akan diumumkan kemudian oleh pihak VW dari masa ke masa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required