Fungsi pemanduan autonomous semakin banyak diperkenalkan pada kenderaan generasi baru, dan bagi menyokong langkah ini, ZF telah mengeluarkan satu konsep stereng untuk kenderaan autonomous Tahap 3 ke atas (kereta boleh mengambil alih operasi utama termasuk pendikit, brek dan stereng).
Seperti yang boleh dilihat, stereng baru ZF ini masih mempunyai gelung luar seperti stereng biasa, tetapi di tengahnya terdapat satu skrin LCD tujuh inci yang boleh memaparkan pelbagai informasi dan maklum balas daripada kenderaan untuk pemandu.
Pada gelung luar stereng ini, terdapat 10 pengesan kapasitif, yang boleh mengesan kedudukan tangan pemandu seterusnya menambah kepastian siapa yang mengendali kenderaan. Lampu pada bahagian dalam gelung itu pula boleh bertukar daripada biru untuk pemanduan autonomous, putih sekiranya pemandu yang mengawal sendiri, merah untuk amaran dan kuning untuk lampu penunjuk arah.
Namun begitu, fungsi yang lebih maju pada stereng ini adalah ia sensitif kepada sentuhan dan pemandu boleh menggunakan pergerakan sentuh seperti pada telefon pintar ataupun peranti elektronik masa kini. Sebagai contoh, pemandu boleh ketuk jari dua kali pada stereng untuk hon, sentuh (slide) bahagian tertentu untuk menukar pendingin hawa serta pelbagai lagi. Ini semua bergantung kepada kemahuan pengeluar kenderaan.
Satu lagi ciri menariknya adalah disebabkan terdapat skrin di bahagian tengah, jurutera ZF terpaksa memikirkan cara baru untuk meletakkan beg udara. Hasilnya, beg udara pada stereng ini boleh digunakan secara selamat, dan ia keluar dari bahagian belakang gelung stereng tersebut, dan pergi ke hadapan tanpa mengganggu skrin itu sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.