Kecederaan akibat tercampak keluar dari bumbung panaromik ketika kemalangan yang melibatkan kereta tersebut terbalik mungkin masih lagi belum tinggi buat masa sekarang kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya masih lagi belum banyak. Namun sebagai langkah proaktif, Hyundai Mobis, pengeluar alat ganti untuk jenama Korea berkenaan kini sudahpun mula untuk membangunkan beg udara khas untuk bumbung panaromik.

Sistem beg udara istimewa tersebut direka bagi mengelakkan penumpang terkeluar dari kenderaan menerusi bumbung panaromik itu ketika kereta terlibat dalam kemalangan dan terbalik. Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Nasional Amerika Syarikat (NTHSA), sehingga kini seramai 260 orang telah dilaporkan tercampak keluar dari bumbung panaromik dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan terbalik.

Manakala menurut Penyelidik Pasaran P&S pula, pasaran global untuk bumbung panaromik dianggarkan bernilai sekitar enam trillion won (RM22.4 billion) pada 2015 dan dijangkakan akan berkembang purata 11% setahun sehingga 2022.

Beg udara yang dibangunkan oleh Hyundai Mobis ini akan diaktifkan sekiranya penderia mengesan perubahan sudut putaran ketika kereta sedang terbalik. Ia diletakkan di bahagian belakang bumbung panaromik, dan akan berkembang meliputi kesemua bahagian bumbung kaca berkenaan dalam masa hanya 0.08 saat ketika berlaku kemalangan.

Menurut Hyundai Mobis lagi, struktur beg udara bumbung panaromik ini lebih rumit berbanding beg udara biasa, dan ia akan meletup dalam keadaan yang stabil pada pemasangan bumbung. Corak ia berkembang ketika meletup juga berbeza bergantung pada keadaan, sama ada ketika bumbung terbuka atau tertutup – ia akan berkembang pada bahagian bawah pelindung cahaya matahari sekiranya ketika bumbung tersebut tertutup.

Beg udara ini telah diuji pada kenderaan sebenar pada Oktober lalu dan telah lengkap menjalani ujian ketahanan terhadap rintangan haba serta getaran, dan juga telah dirancang untuk pengeluaran besar-besaran. Sejumlah 11 paten telah didaftarkan untuk teknologi ini, dan ia difokuskan untuk dipadankan pada SUV premium.