VW Passat GT buat kemunculan sulung di Detroit – VR6 3.6 liter, 280 hp/350 Nm, transmisi DSG 6-kelajuan

VW Passat GT buat kemunculan sulung di Detroit – VR6 3.6 liter, 280 hp/350 Nm, transmisi DSG 6-kelajuan

Versi produksi Volkswagen Passat GT telah pun didedahkan di Detroit ketika berlangsungnya North American International Auto Show 2018. Model istimewa ini dihasilkan dalam jumlah terhad dan hanya di jual pada pasaran Amerika Syarikat.

Lencana GT yang diberikan pada Passat tersebut bukan sekadar gimik kerana ia dijana enjin VR6 (bentangan V6 dengan sudut kecil dan hanya satu kepala silinder) 3.6 liter berkuasa 280 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 350 Nm pada takat 2,500 rpm. Enjin tersebut diambil dari varian V6 SEL Premium dan jumlah kuasa yang dibekalkan jelas lebih tinggi dari versi R-Line yang dijana enjin 2.0 liter TSI (174 hp/249 Nm).

Enjin VR6 ini dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar enam-kelajuan DSG, dan kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan. Bagi menangani jumlah tenaga yang lebih besar tersebut, talaan suspensi turut diubah serta ketinggian badan direndahkan lagi bagi memberikan ‘stance‘ yang lebih agresif.

Dari segi rupa, berberapa perincian yang membezakannya dari varian lain telah diberikan. Passat GT dipadankan dengan gril hadapan ‘sarang lebah’ lengkap dengan lencana GT serta jalur serlahan merah pada bampar yang diambil dari model R-Line. Bahagian belakang pula menerima lampu yang telah digelapkan bersama tip ekzos kembar.

Kemasan berwarna hitam turut diberikan pada bahagian lain, termasuk bumbung, penutup cermin sisi dan spoiler. Model GT ini juga diberikan angkup brek berwarna merah disebalik rim aloi ‘Tornado’ bersaiz 19-inci.

Masuk ke kabin, anda akan disajikan dengan kemasan piano black pada konsol tengah dan liang penghawa dingin, kemasan-kemasan gentian-karbon, kemasan bumbung berwarna hitam dan juga lencana aluminium ‘GT’ pada bendul sisi. Tempat duduk pula dibalut dengan kulit berwarna hitam, bersama elemen Moonrock Gray dan juga serlahan benang jahitan.

Ciri-ciri lain yang turut diberikan pada Passat istimewa ini termasuk roda stereng balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan pemanas bersama tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, sistem penghawa dingin dua-zon, cermin sisi dengan pemanas, lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED, serta sistem infotaimen Composition Media yang disertakan dengan skrin sesentuh bersaiz 6.3-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required