Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk pasaran tempatan bagi bulan Disember 2017. Dari satu sisi, ia menunjukkan prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan bulan November.

Keseluruhannya, sebanyak 54,729 unit kenderaan telah dijual bulan lalu, mencatatkan 11.3% atau 5,545 unit peningkatan berbanding 49,184 unit yang dicapai pada November. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Disember 2016 pula, angka baru ini tetap tidak dapat menyaingi; ia 15.6% atau 10,104 unit lebih rendah.

Walaupun begitu, jumlah keseluruhan 576,635 unit kenderaan baru telah terjual sepanjang 2017, mencatatkan penurunan sebanyak 0.6% berbanding TIV tahun 2016 dengan jualan sebanyak 580,085 unit kenderaan.

Menurut MAA, penurunan ini disebabkan oleh kesan daripada bencana banjir dibeberapa negeri Semenanjung serta promosi jualan yang rancak dan berlebihan yang bermula lebih awal pada 2017 lalu.