Volvo V40 T5 facelift yang dilancarkan pada bulan Jun lalu kini datang dengan pakej luaran R-Design, menggantikan pakej Inscription sebelum ini. Walaupun dengan perubahan ini, harganya masih lagi sama iaitu RM180,888 atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan.

Perubahan pada bahagian hadapan boleh dilihat dengan adanya gril serta bampar R-Design, dengan bukaan udara di penjuru dan kemasan hitam pada bahagian bawah. Pergi ke belakang pula, anda dapat melihat rekaan diffuser yang lebih agresif, serta dua muncung ekzos yang lebih besar. Rim masih lagi 17 inci, tetapi rekaan yang berlainan (tayar 205/50).

Walaupun bahagian luar mempunyai banyak barangan R-Design, ia tidak diteruskan untuk bahagian dalam. Maknanya, bahagian dalam masih sama seperti varian Inscription sebelum ini, dengan menggunakan kemasan aluminium di beberapa bahagian serta Comfort Seat. Walaupun begitu, plet tepi pintu yang sebelum ini tertulis Inscription telah diganti dengan tulisan Volvo sahaja, dan stereng serta tombol gear tidak menggunakan unit balutan kulit R-Design.

Kelengkapan pada kenderaan ini masih tidak berubah, di mana ia datang dengan panel instrumen digital lapan inci, lampu utama LED dengan DRL LED bentuk ‘tukul Thor’, pengawal pendingin hawa dua zon dengan Clean Zone, Sensus Connect dengan skrin tujuh inci dan lapan pembesar suara 180 watt.

Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder petrol 2.0 liter turbo Drive-E, yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Geartronic. Padanan ini mampu menghasilkan 245 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,800 rpm – cukup untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan laju maksimum 240 km/j.