Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

Jika kita memperkatakan berkenaan kereta ikonik, tentu ramai yang mengatakan Myvi merupakan model yang menerima gelaran berkenaan untuk mewakili Malaysia kerana hatchback tersebut membanjiri jalan raya tempatan dengan jualan paling laris selama sembilan tahun berturut-turut. Namun jika diukur dari segi nilai sejarah, tentunya gelaran ini perlu diberikan pada kereta nasional pertama negara iaitu Proton Saga.

Tidak boleh dinafikan, Proton Saga merupakan antara model yang merubah corak mobiliti rakyat Malaysia ketika mula diperkenalkan pada tahun 1985 dahulu. Dijual pada harga sekitar RM15k, keluarga dari kelompok golongan pertengahan yang hanya memiliki motosikal untuk bergerak, kemudiannya mula mampu untuk memiliki sedan empat pintu dengan adanya Saga.

Setelah 33 tahun sejak dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, masih lagi mudah untuk kita menemui Saga generasi pertama yang berkeliaran di atas jalan raya. Bukan sahaja sebagai pengangkutan dari titik A ke titik B, malah Saga turut mewarnai budaya automotif tempatan.

Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

Sebutkan scene mana yang tidak melibatkan Saga – dari ubahsuai ala-autoshow, perlumbaan litar, drag dengan enjin sebesar 2.0 liter turbo dari Galant VR-4, rali, ‘acah-acah’ rali, musim ‘tonggek’ (tayar dengan profil lagi tebal dibelakang), sehinggakan sukan drift juga ada yang menggunakan Saga dijana enjin Toyota 1G-GZE memacu roda belakang.

Bagi Saga yang anda lihat pada paparan kali ini pula, ia telah diubahsuai dengan tema ‘Stance’ atau nama popular lainnya ‘Hellaflush’. Bagi mereka yang belum mengetahui, budaya stance ini antara budaya baharu dalam dunia automotif, dipercayai dimulakan pada awal era 2000 dan mula merebak ke seluruh dunia sekitar tahun 2010.

Namun dek kerana modifikasi ini mengutamakan rupa dan dari fungsi, ramai pengikut-pengikutnya kini sudah ‘tewas’ dan yang masih setia dengan gaya berkenaan sehingga kini adalah mereka-mereka dari kategori ‘true’ dan ‘hardcore’. Pemilik Saga ini, Khairul Azran (lebih dikenali dengan nama samaran ‘Cokelat Angin’) dari Pulau Pinang antara mereka yang tergolong dalam dua kategori berkenaan.

Anda nampak macam ‘seksa’ nak memandu kereta yang rendah hampir menyeret tar ini bukan? Tetapi Khairul Azran tidak mempunyai masalah untuk memandunya dari utara hingga ke selatan tanah air. “Dah minat bang, nak buat macam mana” katanya sambil tersengih-sengih.

Pasti ada tergaru-garu kepala, ini Saga atau Iswara? Dalam geran, sah kereta ini adalah Saga, malah merupakan model asal 1985 yang dijana enjin 4G15 1.5 liter Orion. Perkara pertama yang dilakukan Azran terhadap Saga ini ialah menyalin keseluruhan muka dan belakang kereta ini bagi ditransformasikan kepada sebuah Iswara.

Azran yang juga mempunyai bengkel membaik pulih badan kenderaan (Four Two Zero Bodywork) kemudiannya memberikan sentuhan peribadinya terhadap Saga berkenaan iaitu kit badan lebih lebar dengan jenamanya sendiri, digelar ‘Lightning Bunny’. Seperti yang anda boleh lihat, rekaan tersebut diinspirasikan dari kit ‘Rocket Bunny’ rekaan Kei Miura dari Jepunm yang terdiri dari fender hadapan dan belakang yang lebih lebar serta diberikan spoiler belakang ekor itik.

Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

Apa yang menarik, Azran tidak menggunakan gentian kaca (fiber glass) untuk projeknya ini, sebaliknya hasil seni tangannya tersebut dilempiaskan pada kepingan logam sebenar. Selain itu, Saga ini turut diberikan spoiler pada bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang yang telah dipotong pada bahagian bawah, lampu belakang dengan lense putih keseluruhan (albino) dan juga bumbung suria dari Mazda yang tidak diketahui model sebenarnya.

Seterusnya ialah antara aspek paling penting dalam modifikasi hellaflush ini iaitu rim, tayar dan suspensi. Azran memilih untuk memadankan rim replika Work Meister L1 dengan kemasan emas krom, berdiameter 17 inci dengan lebar 10jj dan offset +10. Rim-rim berkenaan dibaluti tayar Roadstone dengan saiz 205/40R17.

Penyerap hentak asal kemudiannya ditukar kepada unit boleh laras dari GAB, dan ditala bagi mendapatkan kerendahan yang paling maksima. Azran juga telah melakukan ubahsuai pada torsion beam bahagian belakang yang bukan sahaja membolehkan sudut camber dilaras dengan kedudukan negatif, malah spring juga diolah semula bagi mendapatkan strok suspensi yang lebih selesa dan tidak menggangu badan walaupun kereta berkenaan jauh lebih rendah dari sebelum ini.

Provokasi dari segi rupa diteruskan pada bahagian dalaman. Paling menonjol tentulah roll cage binaan khas yang berselirat dalam kabin Saga ini. Tidak cukup dengan itu, sebiji lagi rim Work Meister tersebut diletakkan dalam kabin kereta ini.

Untuk melengkap kabin tersebut, Azran turut memadankan tempat duduk pemandu Bride Low Max bersama tali pinggang keselamatan perlumbaan Takata, papan pemuka dari kembar Saga dari Jepun iaitu Mitsubishi Fiore, meter tambahan (vakum, takometer dan volt) dari Defi dan juga stereng Sparco dengan bosskit jenis quick relase.

Dengan rupa seakan jentera litar, tak lengkap sekiranya enjin kereta ini tidak disentuh semula. Azran menggantikan enjin Orion asal dengan enjin 4G15 yang lebih moden, diambil dari Proton Wira. Walaupun berkongsi kod yang sama, enjin baharu ini datang dengan kepala silinder 12 injap, dan juga sistem suntikan bahan api elektronik (hanya lapan injap dan sistem karburator pada enjin Orion).

Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

Enjin baharu ini juga tidak dibiar standard, di mana Azran telah memberikan aci sesondol dengan durasi 288 darjah – nyata lebih tinggi dari asal yang membolehkan injap dibuka lebih lama bagi mendapatkan kemasukan campuran udara-bahan api yang lebih banyak ke kebuk pembakaran. Sistem kemasukan juga dikemaskini dengan penuras udara HKS manakala tekanan petrol kini boleh dilaras dengan fuel regulator dari Apexi.

Ekzos juga diberi perhatian di mana header asal kini ditukar kepada unit custom 4-2-1 dan diakhiri dengan muffler dari Apexi. Bagi memastikan enjin ini kekal berfungsi pada suhu berkerja yang optimum, radiator logam asal telah ditukar kepada unit aftermarket yang diperbuat dari aluminium.

Untuk sistem transmisi pula, kuasa dari enjin masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima kelajuan. Cuma bagi mendapatkan momentum dan juga respon yang lebih baik, set klac asal telah digantikan dengan set berdiameter lebih besar – 8.5-inci – yang diambil dari Proton Perdana.

Dengan segala sistem mekanikal yang lebih segar berkenaan, tidak hairan mengapa Azran boleh mengembara dengan kereta buatan Malaysia yang berusia lebih dari 30 tahun ini. Kadang-kadang saya terfikir, dengan teknologi ringkas dari era 80’an yang terbukti boleh bertahan dalam tempoh masa yang cukup lama tersebut, agaknya berapa puluh tahun lagi untuk kita sukar melihat Proton Saga generasi pertama ini di atas jalan?

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Nak tya.. Rocket bunny kit ni sah ke di malaysia? Minat jgk.. Tp xberani nk buat huhu

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required