Berikutan Clubman Sterling Edition yang diperkenalkan semula pada bulan lalu, MINI Malaysia telah memaparkan teaser dua model edisi istimewa yang akan datang iaitu Urbanite dan Amplified. Walau bagaimana pun, tidak banyak perincian didedahkan bagi “dua model baharu hatch yang memiliki gaya unik ini” namun menerusi video yang dipaparkan di bawah, ia digambarkan sebagai fesyen tipikal MINI.

Urbanite merupakan edisi “Instaworthy”, “yang sesuai bagi mereka yang gemar berkarya menerusi lensa dan paparan subjek yang berseni. Juga bagi yang mahukan perhatian serta kesempurnaan,” menurut MINI.

Amplified pula adalah “No Small Torque”. “Bagi yang mahu mencari cabaran, atau cabaran yang mencari mereka. Ia penuh dengan keinginan yang di luar jangkauan,” jelas MINI.

Urbanite merupakan MINI Cooper lima-pintu dengan aksesori tambahan dan tema semua-hitam, bersama sentuha merah serta “spotlight” tersendiri. Ia juga menampilkan logo “URBAN” pada papan pemukanya. Manakala Amplified pula merupakan F56 Cooper S tiga-pintu dengan “tork yang lebih tinggi bersama kuasa kuda yang memuncak.”

Lebihan tork dan kuasa kuda seakan memberikan bayangan terhadap kit talaan JCW Pro dan sistem penyenyap JCW Pro dengan kawalan Bluetooth, seperti mana yang pernah ditawarkan pada MINI JCW Pro Edition sejak 2016. Dengan itu, Cooper S yang hadir dengan kuasa 192 hp/280 Nm dapat ledakan yang lebih padu sehingga 211 hp/300 Nm. Kit aerodinamik JCW Pro dan tambahannya (aloi Track Spoke 17-inci dapat dilihat pada UK 1499 GT) memberikan visual yang lebih berpadanan dengan hatch ini.

Model biasa MINI Cooper lima-pintu ditawarkan pada harga RM193,888, sementara model standard MINI Cooper tiga-pintu pula berharga RM229,888. Jadi harga bagi model edisi istimewa ini pastinya sedikit tinggi, malah mungkin juga ia ditawarkan dengan unit terhad.