Bulan lalu, Mercedes-Benz telah melancarkan G-Class baru, dan kini seperti yang dijangka, versi yang lebih berkuasa, iaitu Mercedes-AMG G63 pula menyusul. Ia digerakkan oleh enjin lebih berkuasa, iaitu unit 4.0 liter V8 biturbo dengan kuasa 585 hp dan 850 Nm tork antara 2,500 hingga 3,500 rpm. Laju maksimum dihadkan pada 220 km/j (240 km/j dengan AMG Driver’s Package), manakala pecutan 0-100 km/j pula adalah 4.5 saat.

Enjin V8 ini dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift TCT 9G dengan perisian khas untuknya. Fungsi penukaran gear rendah berturut membenarkan pecutan lebih pantas, dan terdapat fungsi double-declutching dalam mod Sport dan Sport Plus. Selain butang pemilih Direct Select (untuk pilihan lima mod atas jalan dan tiga mod offroad), pengguna juga boleh memilih mod Manual menggunakan suis berasingan dan paddle shift.

Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang diguna menampilkan pembahagian tork 40:60, yang dikatakan oleh Mercedes boleh menjadikan kenderaan ini lebih lincah dan mempunyai cengkaman lebih baik waktu memecut. G63 sebelum ini mempunyai pembahagian tork 50:50.

Off-road reduction gear kenderaan ini juga telah diperbaharui. Nisbah pengurangan transfer case kini menjadi 2.93, dan lebih tinggi berbanding 2.1 pada model sebelum ini. Ini dapat membantu pergerakan di atas bukit yang curam, memandangkan tork pada roda yang memacu naik seara banyak. Pilihan gear offroad Low Range boleh dilakukan pada kelajuan bawah 40 km/j. Dari Low ke High pula boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 70 km/j.

Atas jalan biasa, G63 dikatakan lebih dinamik dan selesa. Bahagian suspensi telah direka semula sepenuhnya dan kini menggunakan spring gegelung di semua penjuru. Buat pertama kalinya, gandar hadapan mempunyai independent double wishbone, yang dipasang terus kepada kerangka ladder frame tanpa sebarang subframe.

Pada bahagian belakang, gandar tegar dipegang oleh empat lengan pengawal melintang pada setiap bahagian dan rod Panhard untuk keselesaan. Untuk memastikan kenderaan ini boleh meredah kawasan ekstrem, spring belakangnya mempunyai mampatan 82 mm, dan lantunan 142 mm, manakala jarak kelegaan dari tanah pula adalah 241 mm. Suspensi AMG Ride Control dengan pelarasan adaptif datang secara standard pada G63, bersama stereng pelbagai nisbah yang sensitif kepada kelajuan.

Model yang lebih berkuasa ini boleh dikenali melalui gril Panamericana yang digunakan, dan ia mempunyai jalur ke bawah, dipadankan bersama bampar AMG yang mempunyai bukaan udara lebih besar dan kemasan perak matte iridium. Lampu utama, penunjuk arah dan lampu belakang semuanya adalah unit LED, manakala Multibeam LED pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

Bahagian lain yang khas untuk G63 adalah lengkuk roda lebih lebar, yang menempatkan rim 21 atau 22 inci yang dipilih. Pemijak kaki tepi adalah standard, dan terdapat kemasan unik pada bampar hadapan dan belakangnya. Sistem ekzos berkembar yang digunakan disudahi dengan muncung yang keluar pada bahagian bawah pintu belakang. Model ini juga mendapat angkup brek berwarna merah.

Pada bahagian dalam, ciri unik utama untuk model G63 ini adalah roda stereng AMG Performance, yang dibalut dengan kulit Nappa. Bahagian bawah roda stereng ini mempunyai potongan rata, manakala pada bahagian yang dicengkam, ia mempunyai liang udara. Turut disertakan adalah penukar gear di stereng.

Seperti biasa, G63 ini juga akan ditawarkan dengan versi Edition 1, yang boleh dipilih dalam pelbagai warna utama, dan warna kontras untuk jalur sport dan cermin sisinya. Pakej AMG Night pula menggunakan rim 22 inci hitam matte berserta kemasan dalam lebih sporty, termasuk penggunaan gentian karbon.