Menjelang penganjuran Geneva Motor Show 2018 pada Mac ini, Kia telah mendedahkan generasi ketiga bagi model Ceed, yang menerima rekaan, pembangunan, kejutureaan dan dibangunkan di Eropah. Beberapa elemen baharu telah diserapkan bagi hatchback segmen-C ini, termasuklah nama baharu – sebelum ini dikenali sebagai cee-apostrophe-d (cee’d).

Perubahan terbesar sudah pasti melibatkan penggayaannya yang menerima inspirasi daripada Proceed Concept 2017, dengan lampu utama yang melunjur ke belakang serta lampu nyalaan siang “kiub ais”. Unit pencahayaannya juga disambung pada gril “hidung harimau” yang lebih bersudut serta corong udara bawah yang lebih lebar serta lampu kabus berbentuk segitiga.

Manakala bagi profil sisinya, ia kelihatan lebih menyerlah berbanding sebelum ini. Dengan garisan yang lebih mendatar dari hadapan melunjur ke kluster pencahayaan belakang. Malah tiang-C juga lebih lebar, meningkatkan lagi imej luaran Ceed dengan bentuk “bulan separuh” bagi garisan atas tingkap.

Bagi bahagian belakangnya pula, ia juga diberikan sedikit kelebaran, ditambah pula dengan lampu baharu yang dipadankan bersama bampar berpotongan dalam serta plat nombor yang dipindahkan posisinya dari bampar ke tailgate.

Ceed menggunakan platform K2 yang baharu dan lebih lebar sebanyak 20 mm (kini 1,800 mm) dan 23 mm lebih rendah (1,447 mm) berbanding model semasa. Namun jarak rodanya tidak berubah iaitu kekal 2,650 mm, namun overhang hadapannya lebih pendek sebanyak 20 mm (ke 880 mm) dan belakang pula dipertingkatkan sehingga 20 mm (kini 780 mm).

Untuk bahagian dalamnya, rekaan kabinnya mengikut jejak langkah model Kia terkini, bermula dengan paparan skrin sesentuh ‘free-standing’ dengan pilihan 5-, 7- dan 8-inci. Papan pemukanya juga terbahagi pada dua seksyen, dengan perumah suis gear untuk sistem infotainmen dan kawalan suhu diletakkan pada bahagian rendah.

Untuk pemandu, roda stereng dan tuil gear baharu diberikan, dengan kedua-duanya dibaluti material kulit. Kluster instrumen tiga-pod dahulu telah ditukarkan kini menjadi dua, dengan paparan pelbagai-info diletakkan di bahagian tengah.

Sistem Drive Mode Select membenarkan pemandu menukar antara mod Normal dan Sport, dengan respon pendikit yag dipertingkatkan dan menaikkan stereng. Penukaran antara keduanya adalah menerusi butang yang diletakkan pada konsol tengah.

Menurut Kia, platform baharu ini memberikan kesan ergonomik yang lebih baik bagi pakej penjimatan. Ruang but pula kini mencecah 395 liter, dan ruang bagi penumpang belakang telah dipertingkatkan, serta memiliki lebih banyak ruang kelama untuk barisan hadapan dan merendahkan posisi pemanduan.

Beberapa elemen turut ditawarkan, dengan beberapa pilihan roda diberikan dari roda keluli 15-inci, keluli 16 atau aloi aluminium 16-inci dan aloi aluminium potongan verlian dua-tona 17-inci. Pembeli juga boleh memilih 12 warna pilihan bagi Ceed mereka.

Selain itu, pilihan lain termasuklah cermin hadapan dengan fungsi haba, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran dan haba panas, tempat duduk belakang dengan haba panas dan sistem bunyi JBL Premium dengan teknologi restorasi muzik Clari-Fi.

Untuk yang mahukan pemanduan Eko, ECO Pack turut ditawarkan. Ia didatangkan dengan Active Air Flap yang boleh dibuka dna ditutup bergantung pada keperluan penyejukan enjin, bersama pelindung bawah badan, suspensi yang lebih rendah dan tayar Michelin dengan rintangan olengan yang lebih rendah.

Bagi aspek keselamatannya, Ceed didatangkan dengan tujuh beg udara dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) sebagai standard. Serta termasuk Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan Bantuan Elak Perlanggaran Hadapan.

Malah ia menjadi yang pertama bagi Kia di Eropah, di mana Ceed turut dipadankan dengan Bantuan Mengikut Lorong, yang merupakan teknologi pemanduan sendiri “Tahap Dua”. Sistem ini mengesan kenderaan di hadapan Ceed dan mengenal pasti ruang terdekat di lorong lain untuk bergerak dengan selamat serta mendapatkan lebih banyak ruang dalam kesesakan yang teruk antara kosong dan 130 km/j.

Penjana kuasa petrol dan diesel ditawarkan untuk Ceed, bermula dengan 1.4 liter MPi (1pp PS), 1.0 liter T-GDi (120 PS) dan Kappa 1.4 liter T-GDi (140 PS) yang menggantikan enjin 1.6 liter GDI naturally-aspirated, yang menawarkan 4% lebih kuasa dan tahap tork yang lebih luas.

Kesemua penjana kuasa termasuk enjin baharu Kia U3 diesel direka bagi memenuhi piawaian standard emisi terkini Euro 6D TEMP. Penjana kuasa 1.6 liter CRDi juga boleh didapati dengan output 115 PS dan 136 PS. Semua enjin dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan, serta 1.4L T-GDi dan 1.6L CRDi juga ditawarkan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

Seperti Cee’d generasi-pertama, Ceed baharu ini dipasang di fasiliti produksi Kia di Žilina, Slovakia, bersama dengan Sportage dan Venga. Produksinya akan bermula Mei ini, dan akan memulakan jualan di Eropah pada hujung suku kedua 2018.