Menteri perdagangan antarabangsa dan industri kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Malaysia kini mensasarkan untuk membawa India ke industri automotif tempatan bagi memperkasakan lagi sektor berkenaan, lapor The Sun Daily.

“Ini merupakan usaha terbaharu, memandangkan Proton berada di landasan yang betul dan kini kita perlu pergi lebih jauh,” katanya yang merujuk kepada kerjasama yang dibentuk oleh pengeluar automotif nasional berkenaan dengan Zhejiang Geely (ZGH) dari China.

“Kami sasarkan pengeluar automotif multinasional terbesar India iaitu Tata Group, yang kini memiliki pengeluar automotif premier Britain Jaguar dan Land Rover. Pembelian dari pengeluar ternama dunia pastinya akan menyumbang kepada industri automotif dalam negara,” tambahnya.

“Kami mahu mereka membuka kilang di Malaysia (Tanjung Malim). Idea kami adalah untuk mewujudkan hab automotif. Dengan populasi 1.3 bilion, India mempunyai potensi yang luas,” jelasnya lagi. Ong turut menyatakan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan menteri besar perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah menunjukkan sokongan mereka terhadap idea ini.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa insentif yang menarik perlu ditawarkan kepada pelabur luar bagi meyakinkan mereka untuk datang ke Malaysia. “Kami akan menawarkan taman perindustrian bersebelahan dengan Proton City untuk mereka bangunkan kilang,” kata beliau.