Pasukan Red Bull Racing menjadi antara yang terawal menunjukkan jentera F1 musim 2018 dan mereka mendedahkannya semasa sesi ujian di litar Silverstone, United Kingdom. Perkara pertama yang boleh dilihat pada kenderaan yang digelar sebagai RB14 ini adalah grafik istimewa hitam dan biru yang dipanggil ‘Disruption’.

Dalam tahun kebelakangan ini, setiap pasukan mengambil langkah untuk memperkenalkan jentera mereka agak lambat, bagi membolehkan pereka menggunakan sebanyak masa yang mungkin untuk mereka sebuah kenderaan yang hebat. Bagi penonton kasual Formula One, kenderaan tahun ini mungkin sukar dibezakan berbanding tahun lepas, tapi ia masih mempunyai beberapa bahagian baru.

Antara yang penting adalah Halo, iaitu rangka pelindung yang berada di hadapan pemandu, seperti rangka untuk cermin hadapan (tetapi sebenarnya tiada cermin). Halo ini perlu dijadikan kuat, dan melalui ujian perlanggaran yang dikatakan seperti meletakkan sebuah bas dua tingkat di atasnya.

Menurut Daniel Ricciardo yang berpeluang menguji jentera ini, Halo tidak menimbulkan sebarang masalah kepada beliau semasa di atas litar. “Saya boleh melihat dengan jelas. Sejujurnya, jika tiada sebarang papan tanda di atas, saya tiada isu dengan penggunaan bahagian ini atas litar rata.”

Sesi ujian musim sejuk Formula One akan bermula minggu hadapan, manakala perlumbaan sebenar pula akan bermula di Australia pada 22 hingga 25 Mac. Keseluruhan musim 2018 akan melibatkan perlumbaan di 21 litar dan ia akan berakhir di Abu Dhabi 23 hingga 25 November.