Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

Selepas pelumba dari Jerman, iaitu Jonas Folger mengumumkan tidak dapat berlumba pada musim ini atas sebab kesihatan, pasukan Yamaha Tech3 telah memulakan pencarian pelumba pengganti. Semasa sesi ujian di Litar Sepang, khidmat Yonny Hernandez digunakan, tetapi selepas itu, mula terdapat khabar angin beliau akan diganti oleh Hafizh Syahrin, pelumba negara yang berusia 23 tahun.

Apabila sesi ujian seterusnya di Buriram, Thailand semakin hampir, pasukan yang berpusat di Perancis itu mengumumkan, memang benar Hafizh Syahrin telah dipilih untuk sesi ujian di Buriram, Thailand, tetapi pada waktu itu keputusan yang dibuat hanyalah untuk sesi ujian dan bukannya perlumbaan sebenar.

Hari ini akhirnya teka-teki ditamatkan apabila pasukan Monster Yamaha Tech3 mengumumkan secara rasmi khidmat Hafizh Syahrin akan digunakan untuk keseluruhan musim 2018, mengendalikan jentera YZR-M1 dalam perlumbaan kategori premier MotoGP, bersama Johann Zarco.

Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

“Saya ingin berterima kasih kepada Hervé, Yamaha Motor Corporation, Monster dan keseluruhan pasukan Tech3 kerana percaya pada saya dan memberikan peluang yang hebat untuk berlumba dalam musim penuh MotoGP ini. Terima kasih juga kepada keluarga saya, yang sentiasa menyokong untuk menjadikan mimpi ini satu kenyataan, terutamanya bapa saya, dan juga peminat serta tentu sekali Razlan. Saya tidak sabar untuk melakukan sesi ujian seterusnya di Qatar, dan saya rasa lebih bermotivasi,” kata Hafizh.

Ketua pengarah eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali pula berkata: “Sesi ujian di Buriram sudah menjadi satu sejarah penting bagi Hafizh. Pengumuman rasmi Hafizh akan bertanding dalam musim penuh dengan pasukan Monster Yamaha Tech3 adalah satu pengumuman dan pencapaian yang besar bagi pelumba Malaysia, selepas menganjurkan MotoGP di Malaysia selama 26 tahun. Ia juga adalah satu berita hebat untuk benua Asia. Saya mesti berterima kasih kepada Hervé Poncharal untuk peluang, kepercayaan serta keyakinan beliau pada Hafizh.”

“Yamaha lebih daripada gembira dengan prestasi Hafizh dan seluruh pasukan Tech3 pula rasa senang hati. Saya berasa sangat bertuah dan bangga untuk memberi beliau peluang ini, dan saya tahu ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah, kerana ini adalah pertama kali pelumba dari Malaysia dapat berlumba dalam musim penuh menggunakan jentera MotoGP, dan kami tahu betapa popularnya sukan ini di negara sebelah sini,” kata pengurus pasukan Monster Yamaha Tech3, Hervé Poncharal

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required