Pasukan Formula 1 McLaren telah mendedahkan jentera mereka untuk musim 2018, digelar MCL33. Musim ini juga, pasukan dari British berkenaan meraikan ulangtahun ke-52 mereka dalam perlumbaan ‘single seater’ paling berprestij tersebut.

Jentera ini bakal dikemudi dua pemandu McLaren dari musim lalu iaitu Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne serta tentunya ia diharapkan dapat mengubah nasib yang tidak berapa baik pasukan tersebut sepanjang 2017.

MCL33 menampilkan ciri-ciri yang direka berdasarkan undang-undang F1 yang dikemaskini termasuk pelindung pemandu yang diletakkan pada kokpit digelar Halo, serta kit aero tanpa T-wings dan penutup enjin seperti sirip yu, yang kini tidak lagi dibenarkan.

Setelah berhempas pulas selama tiga tahun menggunakan enjin Honda yang menghadapai pelbagai masalah, tahun ini MCL33 dijana enjin yang dibekalkan dari pengeluar Perancis iaitu Renault. Jentera ini juga mengenakan livery baharu dengan elemen warna ikonik biru dan papaya orange yang pernah digunakan oleh Mclaren dalam F1 50 tahun lalu.

“Melihat kepada kereta baharu kami, saya rasa sangat teruja – tetapi dalam masa yang sama masih lagi bimbang. Saya tahu betapa pentingnya kereta terhadap pasukan, dan saya hanya berharap ia akan beraksi seperti apa yang kami mahu. Jika kami mampu untuk membina kekuatan utama dari casis tahun lalu dan menggabungkannya dengan enjin Renault, jadi saya rasa kami mampu untuk mengambil langkah yang lebih kehadapan,” kata Alonso.