Seperti yang diketahui umum, proses merobohkan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sedang dijalankan, dijangka ia bakal selesai hujung Mac ini.

walau bagaimana pun, Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses, berkata, proses tersebut perlu dilakukan serentak bagi mengurangkan risiko, termasuk kemalangan maut, laporan Berita Harian.

Katanya lagi, pihak bertanggungjawab perlu merobohkannya secara teratur dan mengikut prosedur.

“Proses itu perlu dijalankan mengikuti spesifikasi ditetapkan menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Sepanjang proses itu, aliran trafik perlu dikawal selia oleh pihak terbabit supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, proses merobohkan struktur itu sepatutnya tidak dijalankan secara terbuka, sebaliknya perlu ditutup dengan penghadang bagi mengelak pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang dilakukan. Jika tidak, ia boleh menyebabkan lalu lintas perlahan di kawasan berkenaan.