Lexus bakal mempamerkan RC 300h F Sport Black Edition baharu di Geneva Motor Show dan bakal memulakan jualan di United Kingdom pada 1 Mei. Seperti nama yang disarankan, edisi istimewa bagi RC coupe ini didatangkan dengan penggayaan luaran dan dalaman yang sarat dengan warna hitam ‘Sumi’, dakwat tradisional yang digunakan untuk lukisan berus dan kaligrafi Jepun.

Kereta sport dengan kekemasan krom gelap baharu untuk gril gelendong F Sport serta lampu kabus LED. Ia juga menerima set roda aloi F Sport 19-inci dengan kontras hitam pekat dan kekemasan machined terang, sementara acuan tingkap pula dari keluli tahan karat hitam untuk dipadankan dengan warna Graphite Black Metallic.

Di dalamnya, kulit hitam menjadi pilihan buat tempat duduk dan roda stereng, bersama jahitan jingga sebagai kontras, termasuk pada panel pintu. Kekemasan kayuan baharu juga berwarna hitam pekat, serta headliner hitam untuk melengkapkan lagi gayanya.

Black Edition juga dilengkapi dengan F Sport Premier Pack secara standard termasuk sistem bunyi Mark Levinson 17-pembesar suara, Paparan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang. Lain-lain elemen termasuk kamera undur, sistem Lexus Premium Navigation, paparan 10.3-inci, keselamatan aktif dan bantuan pemanduan, tempat duduk larasan berkuasa, kawalan suhu dwi-zon dan lampu utama LED.

Tiada perubahan mekanikal di bawah hudnya, ia masih dikekalkan dengan enjin 2.5 liter empat-silinder (178 hp/221 Nm), L210 eCVT dan motor elektrik (141 hp/300 Nm) bagi penjana kuasa hibrid. Jumlah keseluruhan kuasa dianggarkan 220 hp, sementara penggunaan bahan api didakwa sekitar 4.9 l/100 km (kombinasi).