Turut dilancarkan bersama Bobber Black dan Speedmaster untuk pasaran Malaysia adalah model kembara Tiger 800 yang diperbaharui untuk tahun 2018. Secara keseluruhannya terdapat enam varian untuk Tiger 800 ini iaitu XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx dan XCa. Harganya masing-masing termasuk GST, tanpa insurans adalah RM56,900, RM69,900, RM69,900, RM77,900, RM74,900 dan RM81,900.

Bagi mengetahui perbezaan di antara semua varian Tiger 800 ini, anda pertama sekali perlu mengetahui bahawa ia terbahagi kepada dua iaitu XC yang boleh dibawa offroad dan XR yang lebih kepada penggunaan di atas jalan biasa. Varian XR adalah varian yang paling asas, XRT adalah varian paling tinggi untuk XR dan XCa adalah varian paling tinggi untuk XC. Dalam semua pilihan ini, terdapat satu yang disediakan dengan tempat duduk 50 mm lebih rendah iaitu XRx Low.

Bagi model baru Tiger 800 ini (semua varian), ia mempunyai lebih 200 bahagian yang dinaik taraf secara keseluruhannya pada casis dan enjin. Enjin asas tiga silinder 800 cc yang sama masih lagi digunakan, tetapi ia dapat memberikan kuasa lebih cepat dan kuasa maksimum sebanyak 95 PS. Tork pula adalah 79 Nm. Turut dipadankan adalah sistem ekzos yang lebih ringan dengan bunyi lebih sport, serta gear satu yang lebih pendek.

Untuk bahagian badannya, Tiger 800 2018 menggunakan rekaan panel tepi baru, bersama lencana, grafik serta perincian yang lebih berkualiti. Ia kemudiannya disudahi dengan pilihan warna premium baru. Pada aspek ergonomi, ia diperbaiki dengan bahagian pemegang yang ditarik ke belakang sebanyak 10 mm.

Sebagai sebuah varian asas, Tiger XR tidak mempunyai pilihan mod tunggangan, XRx dan XRx Low mempunyai pilihan empat mod (Road/Off­road/Sport/Track), XRt mempunyai lima mod (Road/Off­road/Sport/Track/Rider-Customisable), XCx lima mod (Road/Off­road/Off-Road Pro/Sport/Track) dan XCa enam mod (Road/Off­road/Off-Road Pro/Sport/Track/Rider-Customisable).

Bagi semua model XR, ia menggunakan fork Showa 43 mm di hadapan (pelarasan mampatan dan lantunan untuk XRT), monoshock Showa di belakang dengan pelarasan pra beban hidraulik, rim 19 inci di hadapan dan rim 17 inci di belakang. Model XC pula menggunakan fork WP 43 mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan, monoshock WP dengan pelarasan pra beban, rim 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Semua varian Tiger 800 2018 (kecuali XR) ini menggunakan brek cakera berkembar 305 mm dengan angkup Brembo dua piston di hadapan, cakera tunggal 255 mm dan angkup Nissin satu piston di belakang, sistem ABS yang boleh ditutup, panel instrumen TFT warna penuh 5 inci, semua lampu LED, sistem kawalan cengkaman (TC), cruise control, penghadang angin hadapan boleh laras dan tangki bahan api 19 liter.

GALERI: Tiger 800 XCx 2018


GALERI: Tiger 800 XC

GALERI: Tiger 800 XR