Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menyuarakan kebimbangan terhadap stigma segelintir masyarakat yang menganggap mengambil lesen memandu adalah remeh dan tidak penting.

Menurut Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria kepada Sinar Harian, kesedaran orang ramai khususnya penunggang motosikal bagi keperluan memiliki lesen adalah masih rendah.

Katanya, berdasarkan operasi khas motosikal yang dijalankan ketika Tahun Baharu Cina yang lalu, kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memiliki lesen dan tidak mempunyai cukai jalan.

“Saya pun tak pasti kenapa (meningkat), mungkin lebih kepada kesedaran. Sekarang pun di kalangan pelajar sekolah kalau kita tahan pun macam tak ada rasa bersalah walaupun tahu tak ada lesen. Seolah-olah kepentingan untuk ada lesen itu macam perkara remeh. Begitu juga yang melanggar lampu isyarat. Dah tak ikut warna bila tengok tak ada kereta kiri kanan terus jalan,” katanya.

Mengenai Program MyPrihatin JPJ, beliau berkata, ia program kerjasama antara JPJ dan institut memandu sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Melalui program ini juga kita mahu mengubah persepsi masyarakat supaya tidak takut dengan JPJ, malah kami akan tetap meneruskan operasi malah meletakkan pegawai dan anggota berpakaian biasa di lokasi tertentu,” ujarnya lagi.