Indian Motorcycle telah memperkenalkan sebuah model edisi istimewa iaitu Chieftain Elite Black Hills Silver untuk pasaran 2018. Bagi mereka di Amerika Syarikat, nama Black Hills ini sememangnya diketahui, iaitu tempat perlombongan timah, dan ia diambil sebagai simbolik kepada warna baru motosikal ini.

Bukan setakat warna perak biasa, Chieftain Elite keluaran istimewa ini dicat dengan menggunakan tangan, termasuk grafik khasnya. Perkara inilah yang mahu diketengahkan oleh Indian, kerana setiap satunya mengambil masa tambahan 25 jam untuk proses mengecat. Selain itu, setiap satunya juga boleh jadi unik dan tidak sama kerana kerja tangan tidak seperti mesin.

Perkara ini meningkatkan lagi nilai Chieftain Elite sebagai sebuah bagger premium, bersama kelengkapan lain seperti sistem audio 200 watt, skrin hiburan sesentuh bersama navigasi, lampu Pathfinder LED, penghadang angin hadapan yang boleh dikawal menggunakan butang elektronik, lantai peletak kaki aluminium, tempat duduk balutan kulit, cruise control serta sistem tanpa kunci.

Untuk kuasa, Chieftain Elite dikuasakan oleh enjin 1,811 cc dan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan tork sebanyak 161.6 Nm. Dengan tangki bahan api penuh, motosikal ini mencatat berat 388 kg, dan ia mempunyai panjang keseluruhan 2,506 mm.

Selain daripada itu, model baru ini juga menerima peningkatan pada bahagian cermin dan butang kawalan tangan untuk menjadikan ia lebih mudah diguna. Indian Chieftain Elite Black Hills Silver dijual di Amerika Syarikat pada harga bermula USD31,499 (RM123,028).