Selepas menyiarkan sebuah video teaser Januari lalu, kini Ford mendedahkan pula muka hadapan untuk Mustang Shelby GT500, iaitu sebuah Mustang lebih berkuasa dengan lencana penala lagenda, Caroll Shelby. Walaupun mempunyai kuasa dan prestasi tinggi, kereta ini masih boleh digunakan atas jalan biasa.

Daripada gambar ini, bahagian paling jelas yang menjadikan kereta ini cukup garang adalah bukaan udara yang besar dan di tengahnya terdapat lambang ular tedung yang sudah menjadi tanda unik sebuah model Shelby Cobra. Bahagian tepi bamparnya pula lebih berpetak, dengan jalur tegak manakala lampunya masih lagi mempunyai lampu nyalaan siang tiga garis.

Tiada informasi tambahan yang dikeluarkan bersama gambar ini, tetapi melalui video sebelum ini, diberitahu bahawa Mustang Shelby GT500 terbaru ini nanti akan mempunyai kuasa lebih 700 hp. Khabar angin yang tersebar pula menyatakan kuasa ini datang daripada enjin asal Coyote V8 5.0 liter yang dipasang dengan supercharger.

Model ini juga mempunyai kit badan yang lebih agresif termasuk splitter pada bampar hadapan, diffuser lebih besar pada bampar belakang dan juga sayap GT pada but belakang. Kelengkapan prestasi lain yang akan diberi adalah penutup hud enjin, ‘sayap’ pada skirt sisi, rim aloi berwarna hitam dan juga kit brek yang lebih besar.