KTM tahun ini mempunyai model baru yang cukup menarik iaitu Duke 790. Ia sudah diperkenalkan di Eropah dan menerima banyak maklum balas positif daripada wakil media yang sudah mencubanya. Duke 790 ini juga adalah sebuah model yang penting bagi KTM sendiri kerana ia adalah pertama kali mereka menggunakan tetapan dua silinder bagi enjin bawah 1,000 cc.

Enjin tersebut dinamakan sebagai unit LC8c, mempunyai kapasiti 799 cc dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp dan 86 Nm tork. Padanan kotak gear pula adalah unit enam kelajuan yang mempunyai klac slipper PASC. Head enjin ini menggunakan sistem DOHC lapan injap, satu palam pencucuh untuk setiap silinder, dan rantai cam ditegangkan secara automatik melalui sistem hidraulik. Untuk mengurangkan gegaran, terdapat dua batang pengimbang (counter balance shaft); satu di depan crankshaft dan satu lagi di antara dua camshaft.

Selain melihat kepada spesifikasi, melihat kepada penampilan Duke 790 ini juga boleh membuatkan ramai yang tertarik. Berita baik bagi yang sudah tidak sabar, kelihatannya seperti salah satu pengedar terbesar motosikal KTM di negara kita iaitu CA Cycle sudah membuka tempahan untuk motosikal yang digelar sebagai “The Scalpel” ini. Tidak cukup dengan itu, laman Facebook rasmi KTM Malaysia juga seperti memberi ‘usikan’ dengan menukar gambar utama kepada gambar Duke 790.

Selepas menghubungi CA Cycle, kami diberitahu Duke 790 akan tiba dalam masa beberapa bulan lagi, dan harganya akan berada di sekitar RM60,000. Tempahan boleh dibuat dengan bayaran serendah RM1,000 dan sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan harga sebenar apabila dilancarkan nanti, mereka boleh mengambil semula wang tempahan.

Duke 790 adalah sebuah motosikal yang menarik, dan ada wakil media yang sudah mencubanya mengatakan ia lebih mengujakan berbanding Triumph Street Triple 765. Susah juga hendak mempercayai perkara ini kerana Street Triple sudah seperti “raja” dalam segmennya, apatah lagi Duke 790 tidak mempunyai kelengkapan seperti brek Brembo M50 ataupun fork hadapan yang boleh dilaras.

Pada bahagian elektronik, dengan penggunaan sistem ride-by-wire, Duke 790 ini dapat didatangkan dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Street, Rain dan Track. Selain itu, ia juga datang terus dengan Motorcycle Traction Control (MTC) yang sensitif kepada kecondongan motosikal, brek ABS yang boleh ditutup dan mod Supermoto, Motor Slip Regulation (MSR) dan Quickshifter+.