Dalam masa tiga tahun lagi, Kymco meletakkan sasaran untuk melancarkan 10 model elektrik, dan ini dimulakan dengan pengenalan iONEX semasa Tokyo Motorcycle Show di Jepun. Skuter elektrik ini masih belum dilancarkan untuk jualan, tapi diperkenalkan dengan bentuk yang lengkap berserta sistem sokongannya.

Daripada aspek rupa, iONEX mempunyai penampilan seperti model Vespa moden, dengan lampu hadapan bulat, badan yang kompak serta panel meter digital. Kebanyakan bahagian badan ini menggunakan warna putih, sementara di beberapa bahagian terdapat kemasan warna biru.

Perincian teknikal lengkap iONEX tidak diberitahu, tetapi ia didakwa mampu menghilangkan kerisauan yang ada pada motosikal elektrik sebelum ini. Antara keistimewaan iONEX adalah ia dilengkapi dengan dua bateri mudah alih yang terletak di bahagian pelantar kaki, dan satu bateri utama yang berada sepanjang masa di motosikal.

Dua bateri yang terletak di pelantar kaki tersebut dibina dengan bentuk yang mudah untuk dipegang oleh pengguna, dan ia boleh dicabut untuk dicas. Walaupun dua bateri itu sedang dicas, pemilik masih boleh menggunakan iONEX kerana ia boleh dikuasakan oleh bateri utama. Bateri utama tersebut akan sentiasa dipastikan berada dalam tahap penuh dengan mengambil cas daripada bateri mudah alih.

Jika itu masih tidak mencukupi, pengguna juga boleh menyewa bateri satu lagi bateri tambahan, dan ia boleh diletakkan di bawah tempat duduk. Dengan semua bateri ini, Kymco mendakwa, iONEX boleh memberi jarak pergerakan sehingga 200 km.

Bukan setakat motosikal itu sahaja, Kymco turut menunjukkan sistem sokongan untuk skuter elektrik ini, iaitu mesin mengecas bateri seperti mesin vendor, di mana pengguna iONEX boleh meninggalkan bateri mereka untuk dicas,. Selain daripada itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mengecas bateri di rumah atau di kedai tertentu yang menyediakan hidmat mengecas.