Jika kita mampu untuk membeli kenderaan yang harganya puluhan ribu ringgit (atau lebih), mengapa bila perlu menukar minyak enjin, akan dipilih yang murah dan bukannya yang asli? Atau, kalau betul-betul tak mampu untun menyelenggara kenderaan sebaiknya – kerana kosnya agak tinggi – ramai antara kita yang sebetulnya tidak mampu pun untuk memiliki kenderaan?

Disebabkan kelompok seperti inilah agaknya sindiket yang menjual minyak enjin terpakai atau tiruan boleh terus “bernyawa”. Seperti dilaporkan oleh akhbar Harian Metro hari ini, gejala itu didapati sangat berleluasa terutamanya di Lembah Klang.

Menurut laporan berkenaan, minyak enjin yang dikitar semula ini kemudiannya dipakejkan semula menggunakan jenama terkenal terkenal dan dijual pada harga 50% lebih murah berbanding produk tulennya. Produk-produk tipu seperti ini boleh didapati dengan mudah dibengkel-bengkel kereta, motosikal dan lori.

Sindiket berkenaan membeli minyak hitam terpakai dari bengkel-bengkel yang menyediakan tong tadahan (tong dram) hasil daripada minyak terpakai yang ditukar oleh pelanggan pada harga RM40-RM50 satu tong. Ia kemudiannya di tapis berkali-kali dan melalui tindak balas kimia untuk mendapatkan warna yang jernih semula.

Dan, bengkel-bengkel yang terlibat menjual produk tipu ini tahu tentang perkara ini. Tetapi, disebabkan pengguna hanya mahukan produk yang harganya murah tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kereta mereka, maka penjual hanya menutup sebelah mata dan tetap menjualnya kerana ada permintaan.

Perkara ini bukanlah sekadar cakap-cakap kosong dan bukan juga sesuatu yang baru. Ia kembali mendapat perhatian selepas pihak KPDNKK membuat sebuan ke tiga premis di ibu negara dan merampas sebanyak 517 botol minyak enjin empat liter yang menggunakan pakej jenama antarabangsa.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNKK, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, selain minyak hitam, turut dirampas adalah 34 unit minyak gear dan 22 unit minyak brek tiruan. Operasi berkenaan adalah sebagai tindak balas terhadap aduan pemilik jenama berkenaan yang mengesan aktiviti penjualan minyak tiruan menggunakan jenama mereka.

“Bertindak atas aduan itu, KPDNKK Kuala Lumpur mewujudkan tiga pasukan bagi membuat pemeriksaan di tiga premis terletak di Taman Segar, Taman Daya dan Taman Melati bersama wakil jenama minyak itu di negara ini,” jelas beliau memetik laporan yang sama.

Hal-hal seperti ini tidak akan berlaku sekiranya pengguna bertindak dan berfikir dengan bijak. Penyelenggaraan kenderaan – termasuk minyak enjin dan alat ganti yang lain – dari produk aslinya menjamin ketahanan dan kelangsungan kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi tempoh waktu yang lama.

Jadilah pengguna yang bijak. Hantar kenderaan untuk diservis ke bengkel-bengkel yang bertauliah. Dan, paling penting, produk-produk atau alat ganti tiruan atau kitar semula tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung untuk digunakan pada kenderaan anda.