Kebiasaannya, ketika bercakap tentang cermin kenderaan, bab atau isu yang sering menjadi topik utama ialah tahap ketelusan cahaya (VLT) dan hal-hal berkaitan cermin gelap. Ketika ini, kadar yang dibenarkan adalah 70% untuk cermin depan, 50% untuk cermin di sisi dan 30% bagi bahagian belakang.

Namun, ada lagi perkara yang turut dilarang berkaitan penggunaan cermin pada kenderaan, yang menjadi satu kesalahan, tetapi mungkin tak ramai yang tahu atau endahkan. Yang dimaksudkan ialah penggunaan apa juga jenis tirai atau langsir, dan termasuk segala pelekat hiasan yang dipasang pada cermin kenderaan.

Ini bukan perkara baru; ia memang telah terkandung di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991. “Peraturan yang ditulis sangat jelas, segala pemasangan jenis tirai atau langsir, bahkan pelekat-pelekat hiasan yang diletakkan pada cermin kenderaan adalah dilarang sama sekali,” jelas Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib.

“Pemasangan tirai ini hanya dibolehkan bagi bas-bas ekspres dan juga bas persiaran sahaja. Itu pun, mereka yang ingin berbuat demikian perlu memohon terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada pihak kami. Untuk kenderaan persendirian, tidak boleh.” tambah beliau.

Bagaimana pula dengan penggunaan tirai atau langsir yang boleh dicabut atau ditanggalkan? Ia sama saja; penggunaannya adalah dilarang di bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Jika terdapat aduan dari orang ramai atau ditahan ketika operasi sekatan jalan raya, tindakan selanjutnya adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai bertugas. Pendek cerita, sebarang penggunaan tirai, langsir atau pelindung matahari adalah dilarang.

Menyentuh tentang sebab mengapa penggunaan tirai kekal ini tidak dibolehkan, beliau menjelaskan ia sama juga seperti penggunaan cermin gelap; penglihatan ke dalam kenderaan dari luar perlu jelas dan tidak terhalang.

Ini juga bersangkutan isu-isu keselamatan, dan untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini, seperti aktiviti jenayah, daripada berlaku selain ia juga boleh menghalang penglihatan pemandu. Jika didapati bersalah, pengguna boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000 atau tak lebih sebulan penjara.