Selain dari Ford F-650 Supertruck, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut membawa sebuah lagi kenderaan gergasi miliknya iaitu ‘kepala lori’ Mack Super-Liner yang telah diubahsuai dengan pelbagai ciri mewah.

Trak sebegini lazimnya digunakan pada jalan raya di Amerika Syarikat, namun tahukah anda trak Mack ini sebenarnya adalah keluaran syarikat dari Australia? Mack Super-liner milik Sultan Johor ini ditempah sendiri oleh baginda di Mack Trucks Australia, dan dilengkapi dengan sistem suspensi udara Primaax RADD-A4P bersama kabin tempat tidur custom berukuran 2,260 mm.

Dengan badan jauh lebih panjang dan besar dari ‘kepala lori kontena’ tempatan seperti Volvo siri FM dan sebagainya, trak Mack Superliner ini dijana enjin turbodiesel enam-silinder sebaris MP10 16.1 liter berkuasa 685 hp dan tork maksima setinggi 3,150 Nm. Kuasa tersebut dipindahkan ke kotak gear mDrive manual automated 12-kelajuan, sebelum memacu enam roda di belakang.

Untuk melengkapkan trak khas hanya untuk Kesultanan Johor ini, ia diserahkan ke Viking Trucks bagi menyiapkan warna badan bahagian luarnya. Superliner custom bberkenaan diberikan cat mutiara lapan lapisan, dengan tiga lapis corak rekaan airbrush, dan diakhiri dengan enam lapisan clear coat.

Motif rekaan airbrush adalah bertemakan Johor dengan tiga warna utama – merah, biru, putih – serta imej ‘Harimau Selatan’ yang turut menyerlahkan imej korporat pasukan bola sepak kendalian Tengku Mahkota Johor iaitu Johor Darul Takzim (JDT). Secara tidak langsung, warna tersebut turut membuatkan kepala lori ini kelihatan seperti ketua Armada Autobot, Optimus Prime.

Walau bagaimanapun, pada pameran kali ini, bahagian kabin lori tersebut tidak di buka kepada umum. Namun menerusi laporan sebelum ini, kabin Mack berkenaan diberikan upholsteri balutan kulit yang diimport dari Afrika Selatan, manakala logo DiRaja Johor yang disulam pada tempat duduknya menggunakan jahitan benang emas sebenar.

Selain itu, trak ini turut dilengkapi dengan lantai kayu Jarrah, dua televisyen, dua iPads serta konsol permainan Xbox dan Playstation 4. Bampar belakang buatan tangan lori ini pula menyorokkan panel-panel alatan elektrik.