Proton telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian dengan 10 lagi pengedarnya yang bersetuju untuk menaiktaraf cawangan masing-masing kepada 3S dan 4S. Sebelum ini, sebanyak sembilan pengedar telah menandatangani perjanjian yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong yang turut hadir dalam majlis itu, “Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami melihat lebih banyak pengedar yang turut serta untuk bersetuju menaiktaraf cawangan mereka. Tentunya ini memberi makna yang positif, bahawa Proton adalah jenama yang baik untuk pelaburan – jenama yang berpotensi.

“Pelanggan hari ini sangat berbeza dari dahulu. Apa yang mereka mahu apabila melangkah masuk ke dalam bilik pameran adalah standard piawaian yang berbeza, sejajar dengan keperluan gaya hidup pada masa kini. Proton perlu peka dengan keperluan pasaran semasa agar kami kekal kompetitif dan dapat memberi perkhidmatan kepada para pelanggan secara profesional dan berintegriti,” kata Dr. Li.

Turut hadir sama ialah Yohan Mokhtar, Pengarah Projek Khas Proton dan juga para pengedar yang terlibat.

Positif dengan jenama, pengedar sedia ada mengambil peluang untuk berkembang bersama Proton. Tidak melepaskan peluang yang ada, walau di mana sahaja, persaingan untuk memastikan pelanggan berpuas hati menjadi agenda utama mereka yang berada dalam industri jualan dan perkhidmatan.

Antara pengedar yang terlibat bagi sesi kali ini adalah Rohamas Autoservices, Wasilah Global Sdn Bhd, Regal Motors Holdings Sdn Bhd dan LHM One Stop Car Service Centre. Di mana rata-rata para pengedar ini berkeyakinan tinggi terhadap Proton malah tidak sabar untuk menantikan model-model baharu dari jenama ini. Mereka juga berpendapat, antara faktor kejayaan sesebuah jenama kenderaan ialah memiliki rangkaian pengedar dan pusat sehenti yang efisien, selain teknologi, kualiti dan rekaan kenderaan yang menarik.