Kalau ada pasang angan-angan untuk beli Honda Civic Type R FK8, kempen terbaru dari Honda Malaysia ini mungkin untuk anda; “Sprint to the Suzuka Circuit” menanti mereka yang membeli dan mendaftarkan unit berkenaan dalam tempoh dari 1 April hingga 30 Jun 2018.

Keseluruhannya, akan ada 10 pemenang bertuah dan setiap seorang akan berpeluang untuk memenangi hadiah tiket penerbangan kelas perniagaan ke Jepun dengan penginapan selama lima hari empat malam, dua tiket untuk menonton Gran Prix Formula 1 Jepun serta cenderahati rasmi Honda bernilai RM30,000 semuanya.

Untuk ikut serta, pelanggan perlu membeli dan mendaftarkan Civic Type R mereka dalam tempoh kempen ini berlangsung, isikan borang dan jawab dua soalan ringkas dengan kreatif di mana-mana 20 pengedar Honda Sport seluruh negara.

Civic Type R dilancarkan untuk pasaran tempatan tahun lalu pada harga RM320,000 atas jalan tanpa insurans. Model berkenaan dibawa masuk secara CBU dari kilang pemasangan di Swindon, UK. Ia dilengkapi dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder VTEC yang menghasilkan 310 PS dan 400 Nm kuasa. 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimumnya ialah 272 km/j.