Registration of interest (ROI) atau pendaftaran untuk yang berminat bagi Nissan Serena S-Hybrid generasi kelima telah pun dibuka, menerusi paparan khas di laman di laman web Nissan Malaysia. MPV baharu ini telah pun dipertontonkan di khalayak ramai buat pertamanya pada minggu lalu, dan kami telah pun memberikan beberapa perincian mengenainya.

MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

Unit ini turut dipadankan dengan Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyahpecutan. Motor 1.8 kS/200 A juga membolehkan fungsi “bantuan tork”, menyediakan 50 Nm rangsangan sehingga ke satu saat apabila bergerak dari titik pegun.

Antara elemen yang ditampilkan termasuklah padanan roda 15-inci dan tayar 195/65. Elemen standard termasuk pintu gelangsar dwi-berkuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut, tujuh USB port dan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD).

Serena spesifikasi Malaysia tidak akan ditampilkan dengan lapan-tempat duduk – ia sah hanya ada tujuh-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3 (dengan tempat duduk kapten di barisan kedua). Apa yang kami dengar, akan ada lebih dari satu varian Serena ini yang akan ditawarkan untuk pasaran kita, dijangka tiga varian tetapi ia hanya akan disahkan nanti.

Bagi elemen keselamatan, ia ditawarkan dengan enam beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS dengan EBD, bantuan brek dan dua cagak Isofix. Empat warna yang bakal ditawarkan iaitu Brilliant White, Tungsten Silver, Diamond Black dan Cashmere Gold.