Masalah kelewatan perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang kerap berlalu sememangnya menggusarkan pengguna. Rasa tidak puas hati sering kali kedengaran apabila pengguna terkandas di sesetengah stesen hingga mengganggu urusan harian.

Malah ia pernah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar segera menyelesaikan masalah ini. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ETS bakal menambah dua lagi tren baharu dan ia dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, kelewatan ETS akibat tren rosak dan bekalan elektrik terputus ini juga akan dipulihkan apabila sembilan tren beroperasi sepenuhnya mulai November 2019, laporan Berita Harian

“Kita membeli sembilan set tren baharu untuk menangani masalah kelewatan jadual ETS. Dua tren sudah tiba. Walaupun ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2019, kita jangka dua set ini akan beroperasi pada Disember tahun ini. Dengan adanya tren baharu ini dan menambah baik gerabak sedia ada, masalah dihadapi ETS dari segi kekerapan akan diperbaiki,” katanya. Ia adalah bagi menjawab soalan lisan Datuk Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Soo Seang mengajukan soalan mengenai rancangan kerajaan memperbaiki dan mempertingkatkan khidmat ETS yang sering berlaku kelewatan jadual, kerosakan gerabak dan terputus bekalan elektrik.

Dalam perkara yang berkaitan, Nancy turut berkata, mulai bulan ini, KTMB akan mengeluarkan jadual perjalanan ETS sepanjang bulan ini untuk memudahkan pengguna mendapat maklumat waktu sebenar.

“Kita juga mempunyai laman sesawang yang menyediakan jadual perjalanan ETS untuk kemudahan pengguna,” katanya menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).